Get $25 free
loading...

Tanah runtuh: Projek rumah milik Tanjung Bungah dihenti sementara

Guan Eng berkata kontraktor binaan yang melaksanakan kerja pembinaan itu akan turut disenarai hitam oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang bersama mana-mana konsultan yang terlibat secara langsung sementara menunggu hasil siasatan.

lim-guan-eng-tanah-runtuhGEORGE TOWN: Pemaju projek rumah mampu milik di Lengkok Permai, Tanjung Bungah di sini tidak akan dibenarkan untuk meneruskan kerja pembangunan projek itu sehinggalah Suruhanjaya Siasatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyiapkan siasatan dan dapatannya berkaitan tragedi tanah runtuh itu.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata penubuhan suruhanjaya bagi menyiasat insiden malang itu akan diusahakan dan diluluskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri minggu depan.

“Suruhanjaya itu akan mengadakan siasatan bebas menyeluruh untuk mengenal pasti punca kemalangan di tempat kerja ini dan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“Saya juga akan mencadangkan supaya suruhanjaya itu diberi kuasa untuk menyiasat semua perkara sampingan berkaitan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi tanah runtuh itu di sini hari ini.

Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 8.50 pagi semalam. Sebelas orang terperangkap di dalam runtuhan dan setakat ini, 7 mayat telah pun dijumpai manakala 4 lagi belum dapat dikesan.

Seorang daripada mereka adalah penyelia tapak rakyat Malaysia manakala mangsa yang lain merupakan warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Guan Eng berkata kontraktor binaan yang melaksanakan kerja pembinaan itu akan turut disenarai hitam oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama mana-mana konsultan yang terlibat secara langsung sementara menunggu hasil siasatan.

Beliau berkata MBPP turut diarahkan supaya mengadakan pemeriksaan serta-merta dan mengambil tindakan berhubung tapak pembinaan, terutamanya melibatkan lereng bukit, bagi memastikan garis panduan dipatuhi untuk menjamin bukan sahaja keselamatan bangunan tetapi juga kestabilan struktur.

“Kerajaan negeri akan menguruskan bayaran pampasan kepada keluarga mangsa tetapi keutamaan sekarang adalah untuk mencari mangsa yang masih belum dijumpai.

“Apa yang kamu lihat sekarang adalah kemalangan di tapak pembinaan, jadi, ia adalah kemalangan yang sangat buruk kerana melibatkan begitu banyak nyawa yang hilang.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang ingin merakamkan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa dari Pulau Pinang, begitu juga kepada kerajaan Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Myanmar,” katanya.

Ditanya sama ada tanah runtuh itu berpunca daripada kuari yang terletak berdekatan tapak pembinaan, Guan Eng berkata beliau dimaklumkan oleh Datuk Bandar MBPP Datuk Maimunah Mohd Sharif bahawa kuari itu mendapat kelulusan daripada kerajaan sebelum ini.

“Sama ada itu puncanya, terserah kepada suruhanjaya untuk memutuskannya, kami bersikap terbuka,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...