Pengurangan kadar cukai pendapatan yang dibentangkan dalam Bajet 2018 kelmarin, adalah selari dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pelaksanaan GST secara dasarnya akan dapat mengurangkan cukai pendapatan secara berperingkat.
Katanya, kutipan cukai tidak langsung menerusi GST sebenarnya menyumbang secara signifikan kepada hasil negara dan kutipan GST oleh kerajaan pada tahun lalu adalah sebanyak RM41 bilion.
“Sungguhpun pengurangan kadar cukai ini bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna DI antara RM300 dan RM1,000 bagi kumpulan pendapatan pertengahan (M40) serta menangani isu kenaikan kos sara hidup, namun ia masih akan memanfaatkan ekonomi negara dengan andaian penjimatan ini dibelanjakan semula 261,000 pembayar cukai yang terbabit,” katanya.
Sabin berkata, bagi memastikan hasil kerajaan terus terpelihara, LHDN akan terus memainkan peranannya dengan aktiviti penguatkuasaan dan pendidikan cukai yang efektif.
Katanya, ini untuk memastikan pembayar cukai yang lain membayar jumlah cukai yang sepatutnya mengikut perundangan percukaian.
LHDN juga, katanya komited dalam memudahkan urusan pembayar cukai yang patuh, menerusi penyediaan pelbagai saluran penghantaran borang cukai dan pembayaran cukai, terutamanya menerusi platform dalam talian.
“Malah, menerusi jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya pertukaran maklumat secara automatik, ketirisan cukai yang disebabkan oleh transaksi rentas sempadan akan dapat dikurangkan.
“Justeru, cadangan yang dibentangkan dalam Bajet 2018, perlulah dilihat secara menyeluruh bagi melihat kesannya, bukan saja kepada kumpulan yang disasarkan, malah kepada pembangunan dan pentadbiran negara segala keseluruhannya,” katanya.
Sabin berkata, Bajet 2018 juga berjaya meletak asas yang baik untuk membolehkan kerajaan mencapai aspirasi dan hasrat yang digariskan di bawah pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Beliau berkata, pembentangan bajet itu juga menuntut pihaknya untuk lebih efektif dalam melaksanakan peranannya memungut hasil negara menerusi kutipan cukai langsung, bagi memastikan semua program pembangunan negara, merangkumi sosio-ekonomi dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini