Cadangan itu dibuat semasa membahaskan rang undang-undang menjamiin kesejahteraan warga emas di institusi jagaan.
DEWAN RAKYAT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Yazid menyarankan supaya anak-anak, yang menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas, dikenakan syarat khas termasuk dipastikan melawat orang tua mereka.
Beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa syarat khas itu bertujuan memastikan anak-anak tidak melepaskan tanggungjawab menjaga ibu bapa kepada pusat jagaan berkenaan.
“Satu bentuk perhubungan terus sama ada melalui ziarah atau berbentuk dalam talian melalui kaedah seperti Skype harus diletakkan sebagai syarat sebelum menerima warga emas sebagai penghuni,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017.
RUU itu dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam, yang antara lain bertujuan mengawal selia institusi jagaan warga emas bagi menjamin kesejahteraan golongan itu selain menggalakkan institusi jagaan tidak berdaftar untuk mendapatkan lesen dan dikawal selia.
Mastura berkata anak-anak juga perlu dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat jagaan bagi memastikan mereka bertanggungjawab terhadap hal kebajikan ibu bapa mereka.
Wakil rakyat Barisan Nasional itu turut mencadangkan supaya penguatkuasaan terhadap pusat jagaan warga emas dipertingkatkan dengan melakukan pemeriksaan mengejut dan memperkenal sistem penarafan bintang untuk menggalakkan penyediaan perkhidmatan terbaik.
Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) pula mahu pusat jagaan warga emas menitik berat aspek penjagaan kesihatan dengan memastikan pekerjanya lebih terlatih dan cekap supaya kebajikan warga emas terjamin.
”Undang-undang hari ini tidak memperuntuk secara khusus penjagaan kesihatan di pusat jagaan, dan situasi ini akan menjejaskan mutu penjagaan kesihatan penghuni,” katanya.
Dalam pada itu, Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme kawalan harga terhadap pusat jagaan warga emas supaya ia tidak berorentasikan keuntungan.
“Kerajaan juga diharap dapat memberi subsidi kepada pusat-pusat ini supaya harga (bayaran) yang dikenakan kepada penghuni dapat dikurangkan,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat akan bersambung pada 3.30 petang esok bagi pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini