Get $25 free
loading...

Malaysia Berupaya Suarakan Isu Kemanusiaan Di Peringkat Antarabangsa

Share This:

Kesungguhan Malaysia dalam menyuarakan isu Rohingya ke telinga kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) sedikit sebanyak telah menampakkan hasil berikutan masyarakat antarabangsa mula memberi lebih perhatian kepada kaum yang tertindas itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian bahawa Washington, misalnya, memperuntukkan US$32 juta untuk bantuan kepada pelarian Rohingya selain memutuskan bantuan ketenteraan kepada tentera Myanmar susulan penindasan yang dilakukan.

Tindakan yang diambil AS itu menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan membawa isu-isu berkepentingan kepada negara kuasa besar, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata beliau mengutarakan isu pelarian Rohingya secara spesifik dan jelas dalam pertemuan di White House dengan Presiden Donald Trump pada September lalu, dan ia disambut baik oleh pemimpin AS itu.

“Dan saya ingin maklumkan bahawa dalam ‘communique’ (kenyataan) asal tidak disebut isu Rohingya tetapi apabila saya minta (perkara itu dimasukkan), Presiden Trump bersetuju dan communique dari White House itu telah memasukkan isu penindasan terhadap Rohingya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) berhubung hasil lawatan kerja perdana menteri ke AS.

Kejayaan Malaysia, maknanya Malaysia ada pengaruh di pentas antarabangsa bahkan dengan kuasa-kuasa besar sekalipun,” jelas beliau.

Najib berkata pertemuan itu turut membincangkan situasi di Semenanjung Korea, isu berkenaan Laut China Selatan selain kerjasama dua hala Malaysia-AS.

Malaysia, ujar beliau, sedang mempertimbang hubungan dengan Korea Utara dari aspek termasuk hubungan diplomatik, politik dan ekonomi.

“Malaysia sedang mempertimbang untuk menutup kedutaan besar Malaysia di Pyongyang selain telah memperkenalkan visa untuk kemasukan warga Korea Utara ke negara ini,” kata Najib dipetik BERNAMA.

Jelas beliau, Kuala Lumpur sememangnya telah mengambil langkah untuk mematuhi semua resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan ancaman Korea Utara.

Menjawab soalan tambahan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) berhubung dasar luar Malaysia, perdana menteri menegaskan Malaysia kekal konsisten dalam soal dasar luarnya yang berasaskan kepada prinsip kedaulatan negara dan kepentingan nasional.

“Kita tidak ubah ikut pada keadaan dan kepada situasi. Kita tidak buat u-turn (pusingan u), ada pihak lain suka buat u-turn, dulu tidak setuju, sekarang setuju.

“Ini biasanya dibuat oleh pihak pembangkang tetapi kita konsisten – boleh semak dasar luar negara kita, kita istiqamah, konsisten sepanjang masa walau apa jua keadaan kita tetap pertahankan prinsip kedaulatan negara dan kepentingan nasional kita,” tegasnya.

Dr Wan Azizah turut bertanya mengapa perdana menteri tidak tinggal di Blair House iaitu kediaman tetamu Presiden AS ketika berkunjung ke Washington DC.

Jawab Najib: “Walaupun saya tidak duduk di Blair House, saya ada jemputan main golf dengan Presiden Trump dan Presiden Trump juga hantar saya ke kereta. Jadi, kita tidak payahlah sebut benda ini, ini bukan soal dasar.

“Kita nak pentingkan soal dasar dan kita tetap mendapat penghormatan yang tinggi daripada Amerika Syarikat.”

Perdana menteri turut berkata tiada apa-apa bayaran dibuat untuk bertemu Trump kerana ia dibuat atas urusan kerajaan.

“Pendahulu saya telah melakukan perkara tersebut untuk mendapatkan jemputan daripada Presiden Bush. Kita tidak mengamalkan kaedah itu dan pendahulu saya telah diterima pembangkang sekarang ini.. baguslah tu,” kata Najib.

Comments

comments



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...