Get $25 free
loading...

Najib Pilih Perintah Negara Dengan Urus Tadbir Yang Baik

Share This:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tadbir urus yang baik sentiasa menjadi teras dasar dan pentadbiran kerajaan sejak beliau menjawat jawatan pada 2009.

Itulah yang menjadi kekuatan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kegagalan pakatan pembangkang untuk menyerang kerajaan kerana kecekapan serta ketelusan yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Najib.

Beliau berkata tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri, beliau memperkenalkan tiga inisiatif iaitu konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang kesemuanya penting kepada tadbir urus yang baik di negara ini.

Kini dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang akan menjadi program pembangunan jangka panjang seterusnya bagi negara ini, beliau berkata ia satu lagi contoh jelas tentang kerajaan yang mengamalkan tadbir urus yang baik.

Najib berkata TN50 adalah pendekatan yang transformatif, baharu dan inovatif kepada membuat dasar manakala proses pelaksanaan dari bawah hingga ke peringkat tinggi pula membabitkan penyertaan meluas dengan rakyat menerusi input dan pandangan mereka.

“Ini satu lagi contoh yang jelas tentang kerajaan Malaysia yang mengamalkan tadbir urus yang baik dalam menanggapi keperluan penduduk muda yang sentiasa berubah,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) di sini malam ini.

Najib berkata selain berhasrat menjadi antara 20 ekonomi terkemuka dunia menjelang pertengahan abad, melalui TN50, Malaysia turut menyasarkan untuk berada di kedudukan tinggi dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB, Indeks Kebahagiaan Dunia PBB dan mendapatkan kedudukan yang sangat positif dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

Perdana Menteri berkata demokrasi yang segar di negara ini turut diperkukuhkan di bawah pemerintahan beliau yang, antara lain, telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, menamatkan Darurat yang wujud selama lebih 60 tahun, meningkatkan kebebasan media dan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Sanjungan tinggi terhadap Malaysia sebagai sebuah demokrasi dan diakui melaksanakan tadbir urus yang baik terserlah menerusi sambutan yang diterima delegasi kerajaan Malaysia di White House, 10 Downing Street, Beijing, New Delhi, Berlin dan beberapa kerajaan negara lain,” katanya.

Di sebalik kemajuan yang dicapai, Najib bagaimanapun berkata masyarakat kini hidup dalam situasi apabila berdepan dengan wabak ‘berita palsu’.

“Dari semasa ke semasa, beberapa saluran media barat memaparkan wawancara dengan seorang daripada bekas pemimpin kami dan mengemukakan dakwaannya tentang negara ini sebagai suatu fakta,” katanya.

Beliau berkata bekas pemimpin itu cuba untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, dan memilih untuk menyebarkan berita palsu serta pembohongan tentang negara ini demi kepentingan politik yang mementingkan dirinya sendiri.

Najib berkata sebagai contoh, bekas pemimpin itu berulang kali berkata Malaysia kini berada dalam kalangan “10 negara paling korup” di dunia, tetapi menurut ranking terkini Transparency International, Malaysia tidak disenaraikan dalam kalangan 10 atau malah 100 negara yang paling korup.

Beliau menegaskan sebaliknya Malaysia disenaraikan sebagai tiga negara dengan kadar rasuah paling rendah di seluruh dunia, berada di kedudukan 55 daripada 176 negara.

“Banyak perkara yang berubah sejak zaman beliau. Kami telah menyatakan dengan jelas bahawa tidak akan ada lagi kapitalisme kroni. Kami telah melabur dalam infrastruktur dan keperluan pengangkutan awam yang Malaysia perlukan, dan di negeri pembangkang selain negeri yang diterajui Barisan Nasional – tidak seperti di zamannya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan pimpinan beliau telah menyelaraskan perkhidmatan, memecahkan silo, mempertingkatkan kecekapan dan menggalakkan latihan serta inovasi untuk memastikan negara ini bersedia untuk revolusi perindustrian keempat dan masa depan digital.

Turut hadir Presiden UNAM Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen dan timbalan beliau, Tan Sri Razali Ismail.

Comments

comments

Related Post

Malaysia Berupaya Suarakan Isu Kemanusiaan Di Peri...
#Bajet2018 : Pertama Kali Petani Dapat Peruntukan ...
#Bajet2018 : RM280.25 Bilion Diperuntukkan Untuk B...
#Bajet2018 : Najib Sindir Azmin Depan-Depan Dalam ...


lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...