Get $25 free
loading...

Tiada yang berubah, kata anak bekas aktivis Ops Lalang

Tania Fernandez mengenang lagu 'We Shall Overcome' yang dinyanyikan bersama kumpulan sokongan keluarga tahanan ISA pada 1987.

Operation-Lalang_600

KUALA LUMPUR: Tiga puluh tahun lalu, ketika kanak-kanak lain sedang belajar menyanyi di tadika, Tania Fernandez sudah terbiasa dengan ungkapan seperti “penahanan tanpa perbicaraan”.

Anak perempuan bekas aktivis hak asasi manusia, Irene Fernandez itu mengenang kembali pengalaman menjadi sebahagian kumpulan sokongan untuk membantu keluarga mangsa tangkapan Operasi Lalang ketika berumur 6 tahun.

Beliau masih mengingati kehangatan berada dalam kalangan mereka yang saling menghargai antara satu sama lain sebagai keluarga, ketika beliau bersama ibunya menyertai perhimpunan.

“Satu lagu yang terlekat di fikiran saya dan memberi banyak pengertian kepada saya sehingga hari ini ialah ‘We Shall Overcome’,” katanya pada majlis memperingati ulang tahun ke-30 Operasi Lalang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Tania berkata beliau mendapati hak asasi manusia dan kebebasan sivil di Malaysia hari ini seteruk zaman itu.

“Tiga puluh tahun kemudian tiada apa pun yang berubah,” katanya sambil menambah terpulang kepada generasi sekarang untuk membuat pendirian dan mengubah keadaan menjadi lebih baik.

“Kita tidak berada di barisan depan tetapi sekarang adalah masa untuk kita bertindak dan membuat perubahan.

“Kita semua mesti sedar pilihan raya tidak lama lagi dan sekarang adalah masa untuk kita mengubahnya.”

Operasi Lalang yang juga dikenali sebagai Ops Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 menyaksikan 106 individu termasuk aktivis masyarakat, pemimpin NGO, ahli politik pembangkang, intelektual dan aktivis pelajar ditahan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Antara tahanan ISA yang terkenal ialah Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh, Naib Presiden MCA Chan Kit Chee, Ketua Pemuda PAS Halim Arshat, Ahli Parlimen Umno Pasir Mas Ibrahim Ali dan Exco Biro Pendidikan Pemuda Umno Mohamed Fahmi Ibrahim.

Selain Kua, yang menjawat jawatan ketua publisiti Jawatankuasa Hak Sivil pada masa itu, turut ditahan ialah Pengerusi Dong Jiao Zong (Persatuan Pendidikan Cina) Lim Fong Seng dan ahli Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Irene Xavier.

Ops Lalang: Saya rebah saat suami dibawa pegi, kata isteri Kua


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...