Ketua penerangan PKR Selangor mencadangkan PAS dan DAP berbincang selain menghormati suara majoriti mengikut demokrasi.
PETALING JAYA: PKR Selangor menasihati PAS dan DAP supaya tidak memperbesarkan isu penganjuran festival makanan dan minuman yang membabitkan minuman keras di negeri itu.
“Saya nampak kedua-dua pihak sengaja kecohkan isu ini. Benda ikut peraturan dan buat apa hendak bising-bising.
“Semua ada hak bantah dan sokong. Biarlah pihak berkuasa tentukan boleh atau tidak,” kata Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata DAP dan PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu berbincang dalam jawatankuasa berkaitan, dan suara minoriti perlu mengormati keputusan majoriti mengikut demokrasi.
“Dalam hal bantah dan sokong masing-masing kata demokrasi, bila keputusan sudah buat hormatilah keputusan demokrasi itu. Kenapa nak jadikan isu politik pula?” soalnya.
Beliau berkata PKR Selangor enggan terlibat dalam isu tersebut yang hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu.
“Saya tak mahu ditarik masuk ke kancah itu. Kami ada pendirian tersendiri seperti mana menteri besar (Datuk Seri Azmin Ali) jelaskan sebelum ini,” katanya.
Sabtu lalu, PAS berkata tindakan pemimpin DAP Selangor meminta PAS supaya tidak menjadi “hero” dalam isu pesta bir di Selangor sebagai “kebudak-budakan”.
Sebelum itu, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim mengingatkan PAS supaya tidak mencampuri urusan penganjuran festival makanan dan minuman yang membabitkan minuman keras di negeri itu. Beliau mengingatkan PAS bahawa kadar AIDS dan isu sosial di Kelantan lebih tinggi berbanding Selangor walaupun pesta arak tidak dianjurkan di negeri itu.
Sebelum ini, media melaporkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi kebenaran kepada penganjuran festival makanan dan minuman Jerman pada 12 & 13 Oktober ini di Centro Mall tetapi melarang penggunaan perkataan “Oktoberfest” dan penyertaan orang Islam. Festival itu merupakan acara peribadi dan dianjurkan secara tertutup.
Comments
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini