Get $25 free
loading...

“Sewaktu Nak Keluar Lif , Aku Ternampak Seperti Seekor Lembaga Hitam Sedang Bergayut!”-Gadis Mata Tak Berhijab

Share This:

Kisah seorang gadis yang mempuyai sepasang mata yang tidak berhijab yang boleh nampak makluk lain secara mata kasar dan digganggu ketika pulang daripada tempat kerja.

Kisah 1 – Suara siapakah itu.?

Ini berlaku lebih kurang 2 tahun yang lalu. Dulu sebelum aku pernah bernikah dengan seorang lelaki. Namun jodoh kami tidak panjang, hanya bertahan selama setahun setengah. Setelah sekian lama menjanda, aku bertemu jodoh sekali lagi dengan seorang jejaka. Dia adalah rakan sekerjaku dan kami sebenarnya telah berkenalan semasa aku mula2 bekerja, iaitu sekitar 8 tahun yg lalu. Dia adalah seorang duda anak dua. Kenalah dengan aku, janda tak ada anak. Selepas setahun kami bercinta, dia pun membuat keputusan untuk menghantar rombongan meminang sekaligus bertunang.

Upacara pertunangan kami berjalan dengan lancar. Cincin disarung, janji dimetrai dan doa selamat pun berkumandang dibacakan oleh ibu bapaku, keluarga bakal mertua ku serta saudara mara yang hadir. Sewaktu pembacaaan doa selamat dijalankan, aku duduk di ruang tamu bersama anak-anak tiriku dan makcik-makcik ku. Usai segalanya, baru saja doa-doa diaminkan, kami serumah mendengar orang memberi salam dengan begitu kuat suaranya, bunyinya seakan suara seorang lelaki.

“Assalamualaikum.!”

Kami serumah bergema menyambut salam berkenaan.. “Waalaikumsalam..!”

Ayahku yang duduk bersebelahan dengan pintu masuk pun bingkas bangun untuk lihat siapa diluar. “Tak ada siapa2 pun..” katanya dengan raut wajah penuh tanda tanya. Pintu kami memang sengaja tidak ditutup memandangkan kami sedang mengadakan kenduri, hanya gate sahaja yang dirapatkan. Jadi menjengah sebenarnya sudah cukup untuk ayahku mengetahui siapa yang berada diluar rumah kami. Inikan pula dia bangun, keluar dan melihat sekeliling koridor rumahku. Bila dia masuk kembali, sekali lagi dia berkata dan bertanya pada aku, “Tak ada orang pun kat luar. Siapa yang beri salam..? Kak, kau ada jemput kawan2 kau ke.?”

Aku beritahu tak ada. Tunangku pun menggelengkan kepala menandakan dia juga tidak menjemput sesiapa lain kecuali mana yang telah hadir bersama kami.

Jadi, siapa yang beri salam.? Andaianku mungkin malaikat. Tapi sehingga sekarang kami tidak dapat memberi kepastian suara siapa yang begitu kuat memberi salam pada hari pertunangan kami.

Kisah 2 – Lembaga Hitam
Kejadian ini berlaku pada awal tahun ini (2017). Untuk pengetahuan semua, aku adalah anak indigo, bererti aku berkebolehan melihat makhluk2 yang tak kasat mata. Pada hari tersebut, aku baru pulang dari kerja sif petang. Seperti biasa, pada hari2 yang aku ditugaskan untuk bekerja sif petang, biasanya aku akan habis kerja kurang2 paling lambat dalam pukul 2 pagi. Oleh kerana rumahku jauh dari tempat tugas, aku selalu akan sampai rumah dalam masa 1 jam selepas aku punch-out dari pejabat.

Pada hari kejadian, aku pulang kerja sekitar jam 1 pagi. Itu bermakna, bila bus transport kerja aku sampai di kawasan rumah, jam sudah pun menunjukkan sekitar jam 2 pagi. Entah kenapa, pada hari kejadian itu aku rasa tak sedap hati. Bermula dari masa aku menaiki bus transport, sampailah aku turun bus dan berjalan kaki melintasi tempat parkir kereta yang agak luas untuk ke kawasan perumahan ku. Namun begitu, mulutku berkumat-kamit tanpa henti membaca segala doa dan ayat perlindung yang aku hafal.

Sampai sahaja di kolong blok rumahku, aku cepat2 menekan butang lif untuk naik ke atas. Mata ku melilau melihat sekelilingku sementara menunggu lif. Tidak kelihatan apa2 yang pelik. Bila lif tiba, aku pun melangkah masuk dengan Bismillah. Hatiku masih rasa tak sedap. Sesampai sahaja aku di tingkat rumahku, aku pun keluar dari lif. Sewaktu nak keluar dari lif tu, aku ternampak ditepi tembok luar dari pagar penghadang (parapet), seperti ada seekor lembaga hitam sedang bergayut! Bila ia nampak aku keluar dari lif, ia bersembunyi di belakang tembok. Aku pun dengan langkah seribu pergi ke depan pintu rumah dan cepat2 membuka kunci gate. Sewaktu aku sedang cuba memulas kunci gate dengan cepat, tiba-tiba dari tepi mata dapat ku lihat lembaga itu melompat ke depan pintu lif sambil mencangkung! Suara terdengar seakan2 ia sedang mengerang.

Aku memalingkan pandanganku kearah lembaga tersebut. Ia sedang menyangkung dan dalam posisi seakan mahu lompat dan menerkamku.! Aku dalam keadaan kelam kabut tu akhirnya berjaya memulas kunci gate dan menerpa masuk ke dalam rumah! Sewaktu aku menerpa masuk ke dalam rumah itu lah lembaga itu melompat dan hampir menerkam ku. Aku cepat2 tarik gate, kunci dan tutup pintu rumahku. Nafasku termengah2. Aku segera ke tandas dan berwudhu’. Selepas itu, aku terus membuka CD bacaan Al-Quran dan terus masuk ke bilik untuk menenangkan hati dan solat. Usai solat, aku ke bilik ibu ku. Aku kejut dia dengan perlahan dan memberitahu apa yang telah terjadi. Ibuku lantas menelepon ayah untuk lekas pulang kerana dia mula tak sedap hati. Aku, pada malam itu, tidur beralas tilam dibilik ibuku. Sepanjang malam kami diganggu dengan bunyi-bunyi yang menyeramkan. Bila ayahku pulang, bunyi-bunyi itu berhenti buat seketika. Ayah terus suruh kami semua tidur dan jangan pedulikan bunyi-bunyi itu. Aku lihat ayah berjalan sekeliling rumah, menjenguk ke luar tingkap sambil mulutnya berkumat-kamit. Entah macam mana, aku terlelap.

Keesokan harinya, ayah ku bertanya apa yang aku nampak semalam. Aku pun mengulangi cerita pengalamanku. Ayah hanya sekadar mengangguk dan berdiam sahaja. Akhir sekali, dia menyuruhku untuk menelepon dia sekiranya perkara tersebut terjadi lagi. Tapi, Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, aku tak nampak lagi lembaga hitam tersebut.

-PRU14.TV

Comments

comments



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...