Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan pengetahuan telah memiliki 8 bahan berkaitan kumpulan pengganas IS dalam akaun Facebook miliknya.
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu perubatan hospital kerajaan di Pahang dihukum penjara 3 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan IS dalam akaun Facebooknya pada April lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairul Azhar Hasan, 36, atas kesalahan itu dalam akaun Facebook miliknya atas nama ‘Khairulazhar Hasan’.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula tarikh tangkap pada 12 Mac lepas.
Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata sebagai penjawat awam, tertuduh tidak sepatutnya melibatkan diri dalam keadaan yang boleh menjejaskan faktor keselamatan dan keamanan negara dengan memberikan sokongan serta pandangan kepada kumpulan pengganas di laman sosial.
“Bermula dengan rasa simpati terhadap penderitaan rakyat Syria, tertuduh mula memberikan derma antara RM50 hingga RM100 setiap bulan.Tertuduh mula bertindak berkongsi berita–berita berkaitan Syria di laman Facebooknya.
“Sekiranya tidak dihalang tidak mustahil tertuduh akan menjadi simpati dan sanggup menyumbang tenaga untuk berjuang bersama kumpulan pengganas,” kata Mohd Sofian mengenai bapa empat anak itu.
Mohd Khairul Azhar melakukan perbuatan itu di tingkat 24, Bahagian E8 Cawangan Khas, Bukit Aman pada 12.20 tengah hari, 3 April lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut.
Tertuduh diwakili peguam Mohd Hezri Shaharil, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan pengetahuan telah memiliki 8 bahan berkaitan kumpulan pengganas IS dalam akaun Facebook miliknya sebelum ditahan polis apabila mengaku mempunyai satu akaun Facebook atas nama ‘Khairulazhar Hasan’.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini