Video sengaja direka untuk memperdayakan umat Islam supaya bersimpati dengan IS, kata Mufti Singapura Mohamed Fatris Bakaram.
SINGAPURA: Rakaman mesej video daripada IS, menampilkan “Abu ‘Uqayl”, yang dikenali pasti oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) sebagai seorang warga Singapura berfahaman radikal “penuh dengan pemesongan akidah dan kepalsuan,” kata Mufti Singapura Mohamed Fatris Bakaram.
“Video itu sengaja direka untuk memperdayakan umat Islam yang menontonnya supaya bersimpati dengan IS,” kata beliau dalam kenyataan.
Malangnya, mufti itu berkata rakaman video itu hanyalah satu daripada beberapa mesej serupa yang boleh didapati dalam kebanyakan laman web dan media sosial.
“Pemesongan akidah ini berbahaya kerana salah tafsir dan memanipulasi ajaran Islam, untuk mempengaruhi dan menarik mereka yang mungkin tidak dapat melihat kebenaran daripada kepalsuan,” kata beliau.
MHA pada Ahad berkata orang dalam rakaman video itu yang menggelarkan dirinya “Abu Uqayl” ialah Megat Shahdan Abdul Samad, 39, yang meninggalkan Singapura pada 2014 untuk bekerja di Timur Tengah dan menganut fahaman radikal di sana.
Beliau kemudian memasuki Syria untuk menyertai IS dan dipercayai masih berada dalam IS di Syria, kata kementerian.
“Malangnya, Megat Shahdan ialah seorang daripada individu yang dipengaruhi oleh fahaman dan doktrin yang berbahaya tetapi kita tidak boleh membiarkan orang seperti beliau memimpin untuk terus menyesatkan masyarakat,” kata Fatris.
Mufti itu berkata masyarakat Islam Singapura harus berhati-hati dan ibu bapa, sanak saudara dan rakan-rakan mempunyai peranan penting untuk membantu sesiapa sahaja yang menunjukkan tanda-tanda dipengaruhi oleh fahaman itu.
Rakaman video berdurasi 3 minit dan 30 saat itu, yang dihasilkan oleh sayap media IS, antara lain, menyaksikan “Abu Uqayl” melemparkan kata-kata kepada Putera Harry dari Britain seperti “mengapa kamu tidak datang ke sini dan menentang kami jika kamu cukup berani.”
Putera Harry berada di Singapura Jun lepas.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini