Khaled Nordin berkata pembangkang hanya mampu menimbulkan pelbagai isu untuk mengelirukan rakyat tanpa fakta jelas.
JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini membidas kenyataan pembangkang yang kononnya bercita-cita mahu menjadikan Johor sebagai kubu kuat mereka dengan memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata pembangkang hanya mampu menimbulkan pelbagai isu untuk mengelirukan rakyat tanpa fakta jelas sedangkang rakyat Johor, yang lebih mementingkan pembangunan dan kemajuan berterusan, dapat membuat pertimbangan baik berhubung perkara itu.
“Saya mahu memastikan rakyat mendapat rumah, ekonomi Johor terus tumbuh, rakyat kita ada kerja, ada pendapatan yang baik. Tetapi, kalau pembangkang setakat datang Johor untuk menjual harapan, saya pun boleh buat, tetapi saya lebih bertanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi Umno Johor berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Surat Tawaran Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) Dan Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah Bandar Tiram, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled juga menyeru rakyat Johor menyertai dan mengunjungi Ekspo Johor Berkemajuan dari 6 hingga 14 Oktober ini untuk melihat sendiri perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor dan menyanggah ‘cakap-cakap kosong’ pembangkang.
“Melalui ekspo berkenaan, rakyat juga akan dapat melihat dan mengetahui perkembangan dasar-dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya yang mengulas kenyataan pakatan pembangkang semalam yang mahu menjadikan Johor kubu kuat pakatan pembangkang dengan alasan untuk membersihkan negeri ini sekali gus menyelamatkan negara.
Mohamed Khaled berkata beliau juga akan melancarkan Skim Sewa Beli pada 13 Oktober ini bersempena Ekspo Johor Berkemajuan bagi membolehkan golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah melalui konsep sewa beli.
Sebagai langkah permulaan, kerajaan negeri Johor melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan akan membeli 190 unit rumah di bawah kategori Rumah Pangsa Kos Rendah di Bandar Tiram yang berharga RM35,000 dan 16 unit rumah berharga RM80,000 di Bandar Dato Onn untuk dimasukkan dalam skim berkenaan dengan peruntukan RM7.93 juta.
“Usaha ini kita laksanakan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak mendapat pinjaman bank.
“Butiran kadar sewa beli akan kita tawarkan kepada orang ramai pada hari pelancaran dan setiap tahun kerajaan negeri akan cari rumah-rumah yang sesuai untuk kita senaraikan dalam Skim Sewa Beli ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata nama-nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah pun diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dinilai.
“Nama-nama calon memang sudah lama ada dan kita telah kemukakan nama-nama tersebut kepada pucuk pimpinan…mereka bukanlah calon yang dikenal pasti untuk bertanding tetapi beberapa nama bagi satu-satu kawasan untuk kepimpinan menilai dan kaji kesesuaian dan kelayakan.
“Nama-nama yang dihantar terdiri daripada anggota sedia ada dan baharu serta terserah kepada pucuk pimpinan untuk menjalankan proses menentukan kelayakan,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini