SONGHKLA, Thailand – Rombongan Rehlah Mahabbah Wasatiyyah ke selatan Thailand yang bermula semalam, mendapat perhatian media tempatan di Thailand yang hadir membuat liputan lawatan rombongan berkenaan di Pattani dan Songhkla.
Semalam, media hadir di Pejabat Majlis Agama Islam Pattani dan mengikuti lawatan yang dipimpin oleh Penasihat Institut Wasatiyyah dan Penasihat Yayasan Sahabat Bina Negara (YSBN) Datuk Akmar Hisham Mokhles bersama peserta rombongan yang terdiri dari pelajar Tahfiz dan pemimpin masyarakat dari daerah Parit, Perak.
Selesai majlis sambutan, mereka mengadakan sidang media dan menemubual beliau berkenaan matlamat utama program itu yang bertujuan mengeratkan silaturrahim dengan organisasi Islam di wilayah selatan Thailand.
Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut ditanya apakah formula yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik di kawasan selatan yang sudah berlarutan begitu lama.
Menurut beliau, konflik yang berlaku ada sejarahnya yang tersendiri dan ia sepatutnya diselesaikan oleh pihak yang sepatutnya.
“Soal konflik yang berlaku di wilayah selatan ada kita tahu sejarahnya dan untuk penyelesaian kita serahkan kepada pihak yang lebih memahami untuk berunding berbincang dan akhirnya matlamat kita hendak biarlah wujud keharmonian dan kedamaian di wilayah selatan.
“Melalui keadaan aman,sebenarnya akan memudahkan kita untuk memajukan umat dalam segala bidang sama ada pendidikan, ekonomi, sosial mahupun dalam bidang industri kerana di tempat yang aman akan pastinya menjadi tumpuan masyarakat dan pelabur untuk melabur dan ini sedikit sebanyak akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan ummah,” katanya kepada media semalam.
Datuk Akmar Hisham ketika ditanya media Thailand ketika lawatan ke Pejabat Majlis Agama Islam Pattani, semalam.Hari ini, dalam lawatan ke Pejabat Majlis Agama Islam Songkhla petang tadi, wartawan NBT Songkhla turut hadir membuat liputan.
Lawatan itu adalah kesinambungan dari lawatan ke pejabat di Pattani seterusnya bertemu dengan pengurusan agama Islam Songkhla atas tujuan merapatkan silaturrahim.
Di sana, media turut bertanyakan soalan yang sama berkenaan peranan Malaysia berasaskan prinsip Wasatiyyah dalam membantu menyelesaikan konflik yang masih berlarutan itu.
“Kami boleh memainkan peranan untuk membantu memupuk perpaduan kemesraan di antara rakyat kedua-dua belah negara sebab rakyat yang berurusan setiap hari dan berhubung selalu.
“Dalam konteks ini, kita boleh jadikan hubungan rakyat biasa sebagai sesuatu yang dapat membantu pemimpin untuk sama-sama untuk menjadikan hubungan antara kedua negara ini (Malaysia Thailand) bertambah erat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Program Rehlah Mahabbah Wasatiyyah akan berakhir esok.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini