Get $25 free
loading...

Konsep Wasatiyyah Boleh Wujudkan Keamanan Dan Keharmonian Di Pattani

Share This:

PATTANI, Thailand – Konsep Wasatiyyah yang diamalkan di Malaysia turut mampu menjadi elemen perpaduan dan keamanan di kawasan lain khususnya di Pattani, Thailand memandangkan bandar di kawasan selatan negara gajah putih itu merupakan bumi yang terkenal dengan perkembangan agama Islam, atau dikenali sebagai bumi ulamak.

Penasihat Yayasan Sahabat Bina Negara (YSBN) Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata itu adalah mesej program Rehlah Mahabbah Wasatiyyah yang membuat lawatan ke daerah itu bagi membawa mesej Wasatiyyah iaitu kesederhanaan.

Hari ini, Akmar Hisham dan peserta rombongan yang terdiri dari pelajar Tahfiz dan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi dari daerah Parit di Perak membuat lawatan ke Pejabat Majlis Agama Islam Pattani.

Ketibaan beliau disambut oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Dr Abdul Rahmad Daud.

“Saya sebagai Penasihat Institut Wasatiyyah datang ke sini (Pattani) untuk mempromosikan Wasatiyyah, kebetulan pihak di sini (Pattani) pun memang sering bercakap tentang Wasatiyyah dan kami mempunyai satu pandangan yang senada.

“Bahawa Wasatiyyah boleh digunakan sebagai asas untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni, saling hormat-menghormati dan dalam masa yang sama kita berusaha untuk memajukan umat kita supaya menjadi satu umat yang baik dan dihormati,” katanya.

Bagi beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mempromosikan serta mempraktikkan konsep Wasatiyyah di dalam pentadbiran negara sehingga negara berjaya sampai ke tahap ini.

Pada 3 Mei lepas, Najib berkata prinsip Wala, Wasatiyyah dan Tabayyun perlu menjadi dasar pemerintahan sebuah negara bagi mewujudkan kitaran yang sempurna antara pemimpin dan rakyat.

Perdana Menteri berkata, gabungan prinsip itu jika dilaksanakan secara harmonis akan menjamin kelangsungan sebuah negara bangsa yang menuju ke arah kemajuan dan kejayaan hakiki menurut tafsiran Islam di dunia dan akhirat.

Selain itu, Akmar Hisham berkata matlamat utama program Rehlah Mahabbah Wasatiyyah ini dilaksanakan untuk mengeratkan silaturrahim antara dua pihak iaitu YSBN dan pihak yang mengamalkan pentadbiran berasaskan Islam di Pattani.

“Tujuannya untuk mengeratkan silaturrahim di antara pihak kami dengan pejabat sini (Pattani), keduanya, kami ingin belajar dan mengetahui lebih dekat tentang perkembangan Islam di Pattani.

“Kami juga ingin melihat lebih dekat tentang institusi pendidikan di Pattani, maklumlah Pattani dikenali sebagai bumi ulamak, dikenali sebagai satu wilayah yang mempunyai ramai ulamak dan masih berpegang kuat dengan pendidikan Islam,” katanya.

Program itu yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 28 September akan melibatkan program lawatan ke insitusi pendidikan tahfiz dan juga yang mendidik anak-anak yatim di daerah-daerah di dalam kawasan selatan Thailand.

Comments

comments



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...