Bekas menteri besar Johor itu berkata BN gugup melihat kebangkitan Pakatan Harapan di Johor, mendakwa mereka sedar negeri itu bukan lagi kubu kuat Umno.
PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Johor sebagai “negeri barisan hadapan” Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Presiden PH dan pengerusi gabungan pembangkang Johor itu berkata negeri di selatan tanahair itu merupakan kubu kuat BN yang perlu ditawan untuk PH menawan Putrajaya.
“Johor barisan hadapan PH seluruh negara. Jika Johor tumbang, Barisan Nasional pasti tumbang untuk kita ambil alih Putrajaya,” katanya di pelancaran PH Johor di Dataran Taman Dahlia, Tampoi malam tadi.
Turut hadir pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Muhyiddin, yang pernah menjadi menteri besar Johor dari 1986 hingga 1995, berkata BN gugup melihat kebangkitan PH di Johor kerana mereka sedar negeri itu bukan lagi kubu kuat Umno.
“Kepada ahli-ahli Umno yang berada di belakang sana, saya alu-alukan kedatangan saudara-saudari. Di pentas ini kita ada salah seorang penyokong setia Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh dari hadirin.
“Pada 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir, kita diiktraif sebagai antara negara paling membangun di rantau ini,” katanya, merujuk kepada pemerintahan bekas perdana menteri itu dari 1981 hingga 2003.
Beliau menyeru rakyat Johor supaya bersatu dan bekerjasama dengan PH menumbangkan kerajaan negeri pimpinan BN.
“Kita mengharapkan kubu Umno di Johor tumbang supaya kita boleh memerintah,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu menambah gabungan pembangkang sedang menembusi masyarakat luar bandar dan golongan tani seperti penempatan Felda.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata Muhyiddin sangat sesuai memimpin gabungan untuk menawan Johor memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang luas mentadbir negeri itu.
“Beliau tidak keseorangan. Beliau akan disokong oleh pimpinan Pakatan yang layak dan boleh bekerja,” kata Salahuddin dalam ucapannya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata PH menyasarkan Parlimen Pulai, Johor Bahru, Tebrau dan Pasir Gudang sebagai kawasan penting yang boleh menang.
“Kalau kita boleh menang Johor, lebih mudah untuk kita menang Putrajaya,” katanya.
Beliau menggesa semua parti dalam PH supaya bekerja keras di semua kawasan yang ditandingi. “Jika Amanah bertanding di satu kawasan, PKR perlu bekerja keras seolah-olah calonnya sendiri yang bertanding di situ. Begitu juga DAP,” katanya.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini