Get $25 free
loading...

Hubungan Baik Malaysia Thailand Penting Wujud Suasana Harmoni Mesra

Share This:

SONGKHLA, Thailand – Hubungan baik antara kedua-dua buah negara akan mewujudkan suasana harmoni dan mesra antara dua pihak serta ia dapat meredakan sebarang konflik yang sedang berlaku.

Penasihat Institut Wasatiyyah dan Penasihat Yayasan Sahabat Bina Negara (YSBN) Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata keadaan hubungan baik antara dua negara berjiran Malaysia dan Thailand akan turut menyumbang ke arah itu jika hubungan yang ada terus kukuh.

“Sebagai sebuah negara yang berjiran dengan Thailand, kami sebagai rakyat Malaysia berpendapat hubungan baik amat penting di antara kedua-dua buah negara kerana dengan adanya hubungan baik kita akan wujud suasana harmoni dan suasana mesra.

“Ini akan meredakan sebarang konflik yang berlaku dan ini juga akan membolehkan kita membina masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga untuk rakyat Thailand,” katanya kepada media ketika melawat Pejabat Majlis Agama Islam Songhkla siang tadi.

Menurut beliau, keadaan yang stabil dengan keamanan dan ketenangan akan membawa perkembangan positif yang lebih baik di lokasi berkenaan termasuk memacu kegiatan ekonomi di situ.

“Kalau keadaan di sempadan sentiasa dalam keadaan aman, tenang kita sama-sama akan dapat memacu ekonomi dan memajukan rakyat terutama dalam pendidikan sekaligus akan membolehkan rakyat kita berusaha untuk maju ke depan.

“Dalam keadaan sekarang ini, dalam keadaan dunia bergerak pantas kita sepatutnya mengelakkan diri dari sebarang bentuk konflik dari sebarang bentuk permusuhan ataupun masalah besar yang boleh merencatkan usaha memajukan rakyat.

“Dalam keadaan kita hendak bersaing, kita mesti bagi peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk mereka dapat memajukan diri tanpa ada halangan terutama dalam pendidikan… Kami rakyat Malaysia dan orang Melayu di Thailand semua hendak melihat mereka maju dalam pendidikan dan maju dalam ekonomi serta kerjaya mereka,” katanya.

Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam aspek Islam, banyak cara yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan sebarang konflik atau masalah antaranya dengan pendekatan semangat Wasatiyyah seperti yang diamalkan di Malaysia.

“Banyak cara yang kita lihat boleh membantu dalam usaha menyatukan rakyat dan juga menyelesaikan apa-apa masalah berbangkit, dan salah satu yang kami bawa ialah mempromosikan konsep Wasatiyyah di mana dalam konsep ini kami (Malaysia) mementingkan kesederhanaan, keseimbangan soal berbaik-baik sesama umat, sesama manusia.

“Konsep ini kita (Malaysia) bawa ke seluruh dunia, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pun sentiasa bawa konsep Wasatiyyah ini ke seluruh dunia sebab bagi kita soal kemanusiaan dia tidak mengira batas agama, semua berusaha untuk menjadikan rakyat mereka baik, bangsa mereka baik dan juga penganut agama mereka baik.

“Islam sangat mementingkan soal keselamatan, soal keharmonian dan Islam ini membawa ke arah kemajuan dan kita tidak mahu Islam ini dilihat sebagai agama yang membawa kepada permusuhan, kita (Islam) adalah agama yang membawa kebaikan dan kita adalah agama yang menggalakkan semua umat untuk berbaik-baik dan bersatu padu,” katanya.

Dalam lawatan ke pejabat agama Islam Songkhla itu, rombongan diberitahu sebanyak kira-kira 9,000 pasangan bernikah di pejabat berkenaan setiap tahun dan sebahagian besarnya adalah dari Malaysia.

Pejabat Majlis Agama Islam Songkhla adalah antara majlis agama yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam aspek menerima pernikahan pasangan dari negara Malaysia di luar negara di Thailand. Jika bernikah di pejabat berkenaan, pernikahan pasangan berkenaan adalah sah kerana ia diiktiraf di Malaysia.

Datuk Akmar Hisham dibawa meninjau bilik nikah pasangan yang ingin berkahwin di Pejabat Majlis Agama Islam Songkhla di selatan Thailand yang dikatakan popular dalam kalangan pasangan di Malaysia untuk berkahwin di situ.

Akmar Hisham dan rombongan turut dibawa melawat pejabat majlis agama Islam berkenaan dan turut meninjau bilik di mana proses akad nikah pasangan akan dijalankan.

Comments

comments

Related Post

Rehlah Mahabbah Wasatiyyah Di Selatan Thai Dapat P...
Rombongan Rehlah Mahabbah Wasatiyyah Kagum Sekolah...
Konsep Wasatiyyah Boleh Wujudkan Keamanan Dan Keha...
Punca Kebakaran Pusat Tahfiz Adalah Sengaja Dibaka...


lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...