Ini bukan kali pertama Najib menggunakan soal keturunan untuk menyerang Dr Mahathir yang lantang mengecam dan mengkritik beliau selaku perdana menteri dan presiden Umno.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengingatkan ahli-ahli MIC bahawa beliau membawa lebih banyak pendekatan membina untuk komuniti India berbanding pemimpin tertentu yang berasal dari Kerala.
“Walaupun ayah saya, datuk saya bukan dari Kerala, tetapi saya digelar bapa pembangunan (kaum) India (Malaysia),” kata Najib ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC di PWTC di sini, hari ini.
Najib dilihat merujuk kepada kepimpinan Dr Mahathir apabila membuat perbandingan itu hari ini.
Kerala adalah sebuah negeri di India Selatan.
Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyentuh mengenai keturunan Dr Mahathir sambil berkata beliau ada menerima salinan kad pengenalan asal bekas perdana menteri itu, yang didakwa ada menyebut namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
Menurut Zahid, yang juga menteri dalam negeri, dokumen yang diterima daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Mohd Yazid Ramli menunjukkan “lelaki yang berjuang untuk agenda Melayu” sebenarnya mempergunakan orang Melayu.
Kenyataan itu dipertikaikan oleh Dr Mahathir dan anak perempuannya Datin Paduka Marina yang berhujah kad pengenalan beliau sepatutnya dibaca “Mahathir bin Mohamad” kerana nama datuknya adalah “Mohamad bin Iskandar”.
Perdana menteri Malaysia paling lama itu dilahirkan lebih 3 dekad sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Dalam autobiografinya pada tahun 2011 bertajuk “Doktor di Rumah: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad”, beliau mengakui beliau warisan dari India Selatannya, tetapi berkata: “Saya orang Melayu dan saya bangga dengannya.”
“Saya seorang Melayu bukan hanya di atas kertas. Saya juga orang Melayu dalam sentimen dan semangat.”
Ini bukan kali pertama Najib menggunakan soal keturunan untuk menyerang Dr Mahathir yang lantang mengecam dan mengkritik beliau selaku perdana menteri dan presiden Umno.
Pada bulan Julai, Najib dilaporkan berkata yang beliau dimaklumkan telah melakukan banyak perkara untuk orang India berbanding perdana menteri terdahulu termasuk “orang yang berasal dari India”.
“Dan dengan pelancaran Pelan Induk Kaum India pada bulan April lalu, ia memerlukan penyertaan semua masyarakat India.
“Kami telah menggariskan 3 cabaran utama dalam pendidikan, cabaran sosial dan ekonomi. Sekarang, adakah anda melihat pembangkang melakukan apa-apa terhadap komuniti India? Tidak,” kata Najib.
Najib terus menambah, Malaysia tidak boleh mengambil risiko dengan menyokong pihak pembangkang yang tidak mempunyai dasar ekonomi, sosial dan pendidikan yang konkrit dan terbukti seperti BN.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini