Get $25 free
loading...

Apa jua ceramah menyentuh Islam perlu tauliah, kata Jawi

Jawi berkata penulis ternama kelahiran Turki Mustafa Akyol ditangkap kerana tidak mematuhi surat arahan untuk hadir sesi soal siasat.

Abdul-Aziz-Jusoh-Mustafa-AkyolKUALA LUMPUR: Penulis Turki Mustafa Akyol yang ditahan pihak berkuasa malam tadi dibebaskan tengahari ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Abdul Aziz Jusoh, sambil mengingatkan apa jua jenis ceramah berkait Islam mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa agama.

Aziz berkata tindakan itu diambil selepas Jawi berpuas hati dengan penjelasan Akyol, yang antara lain berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai keperluan tauliah.

“Beliau telah dibebaskan pada jam 12 tengahari selepas pihak penguatkuasa agama Jawi melengkapkan siasatan dan berpuas hati pihak penganjur telah tidak memaklumkan kepadanya keperluan mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana orang yang akan menyampaikan pengajaran Islam atau boleh disifatkan sebagai mengajar agama Islam mengenai Islam di negara ini,” kata Aziz dalam kenyataan.

Akyol ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi sebelum dibawa ke pejabat Jawi bagi dirakamkan keterangan.

Aziz berkata Jawi memohon waran tangkap daripada Mahkamah Syariah terhadap Akyol selepas penulis itu gagal mematuhi surat perintah untuk menghadirkan diri ke pejabat Jawi bagi membantu siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

“Jawi menasihati mana-mana penganjur bagi memastikan para penceramah yang diundang untuk menyampaikan apa jua bentuk ceramah berkaitan dengan agama Islam mempunyai tauliah mengajar seperti yang dikehendaki undang-undang di negara ini,” kata Aziz.

Aziz memberi amaran tindakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 akan dikenakan terhadap penceramah yang gagal berbuat demikian.

Akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Penganjur juga boleh didakwa bersubahat dan boleh dikenakan hukuman sama apabila disabitkan,” kata Aziz lagi.

Sebelum ini, Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Datuk Dr Ahmad Farouk Musa, turut dipanggil Jawi kerana “bersubahat” dengan Akyol kerana berceramah tanpa tauliah.

Bercakap kepada FMT sebelum penahanannya semalam, Akyol melahirkan rasa terkilan dengan gangguan Jawi.

“Saya tidak pernah mengaku mufti atau imam dengan autoriti agama,” katanya. “Saya hanya merujuk pandangan lebih liberal dalam tradisi Islam, daripada perspektif akademik, dan saya hairan mengapa itu pun boleh menimbulkan rasa tidak selamat.”

Akyol, 45, kerap mengkritik pendukung Islamis dan sekularis di negara asalnya Turki, dan juga menyokong kebebasan bersuara di negara Islam di samping mengkritik tindakan kerajaan Islam menggunakan undang-undang tidak demokratik atas nama agama.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...