Presiden Amanah itu tidak menolak kemungkinan amalan rasuah lebih teruk jika kerajaan pusat diambil alih Pakatan Harapan.
KUALA LUMPUR: Jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Presiden Amanah, Mohamad Sabu tidak yakin kerajaan pusat pimpinan gabungan pembangkang itu akan sifar rasuah.
“Saya tidak cakap apabila kami ambil alih (kerajaan pusat nanti), Pakatan Harapan akan sifar rasuah. Tidak, saya tidak pasti, mungkin (keadaannya) lebih teruk,” katanya pada forum anjuran Hindraf malam ini.
Katanya, beliau akan bekerjasama dengan sesiapa saja yang mempunyai matlamat sama untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menahannya sebanyak 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau berkata, rakyat mempunyai mandat untuk menukar kerajaan pada PRU, jika parti pemerintah melakukan kesalahan.
“Apabila kerajaan ini ditukar, kerajaan baharu jika melakukan kesalahan, (ia) mudah ditukar selepas itu dan proses itu akan berterusan.”
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, proses menukar kerajaan pertama paling sukar.
“Mana-mana negara di dunia ini, termasuk di India, Pakistan dan Indonesia. Hendak tukar kerajaan pertama tu cukup susah, tetapi apabila nak tukar (kerajaan) yang ke-2, ke-3 dan ke-4 besok senang.
“Sebab itu kita kena bergabung tenaga. Tidak kira kumpulan itu besar atau kecil, kita mesti bersatu.”
Beliau juga berharap apabila kerajaan baharu memerintah negara, agensi kerajaan sedia ada perlu “diperbetulkan”.
“Kuasa AG (peguam negara), kuasa ketua polis negara, kehakiman dan sebagainya, sebenarnya telah ada, selepas merdeka, tahun 60-an, berjalan sudah cantik. Sekarang ni menjadi-jadi,” katanya.
Beliau juga mendakwa mereka yang menentang kerajaan akan disiasat pihak berkuasa.
“Kita ada undang-undang. Undang-undang digunakan untuk lawan penentang politik, bukan untuk kedaulatan undang-undang untuk rakyat dan Malaysia.
“Sebab itulah semua kita, tak kira kumpulan itu kecil atau besar, (perlu) bekerja kuat. Inilah pilihan raya paling baik untuk tukar kerajaan.
“Apabila kerajaan baharu membuat lebih baik, kita sokong mereka. kalau lebih teruk, kita tukar pula.”
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini