Rohingya adalah satu etnik yang mendiami sempadan antara Bangladesh dan Myanmar. Mereka adalah etnik yang beragama Islam yang sememangnya mendiami kawasan Rakhine sejak sekian lama. Namun, memasuki era moden, kewujudan mereka tidak lagi diiktiraf di tanah tumpah darah mereka sehinggakan junta tentera Myanmar seolah-olah menjadikan pembunuhan etnik ini seperti acara tahunan.
Pada satu kesempatan, penulis berpeluang menemubual seorang warga etnik Rohingya yang mendapat perlindungan di Malaysia. Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman dan enggan gambarnya dirakam memberitahu, pengalaman meninggalkan sebuah perkampungan di Rakhine sebagai salah satu igauan yang cukup ngeri buatnya untuk selama-lamanya. Berikut adalah luahan Rahman kepada penulis sebentar tadi.
Pada pagi jahanam berkenaan, saya dikejutkan dengan ketukan keras pintu rumah saya. Ibu saya sudah bangun untuk mengerjakan solat Subuh dengan dua adik perempuan saya masih lena. Seperti sudah dapat mengagak, cara ketukan berkenaan adalah dari junta tentera yang sebelum ini begitu hebat menyerang perkampungan sebelah, kira–kira 10 kilometer dari rumah saya.
Seperti yang semua orang tahu, kami sekeluarga diseret ketengah satu kawasan lapang tempat di mana hampir seluruh penduduk kampung saya dihimpunkan. Mereka bertindak mengasingkan kaum lelaki dan wanita sebelum kaum lelaki dipaksa untuk melutut sambil dibelasah dengan kejam oleh junta tentera.
Manakala kaum wanita pula diletakkan di satu sudut yang agak tersorok sebelum tiba beberapa buah lori tentera untuk mengangkut mereka. Apa yang menyedihkan saya adalah, ibu dan dua orang adik perempuan saya turut dipindahkan kedalam lori berkenaan tanpa saya ketahui kemanakah hala tuju mereka. Suasana pada ketika itu cukup hingar dengan pekikan, jeritan dan tangisan antara kami.
Setelah mengumpulkan semua kaum lelaki di tengah-tengah padang berkenaan, tentera begitu hebat membelasah kami dengan menuduh kami adalah puak pelampau dan dianggap sebagai sampah yang wajib di bakar hidup-hidup. Sambil memanggil kami Benggali (gelaran lazim untuk etnik Rohingya oleh penduduk Myanmar yang beragama Buddha), mereka berterusan membelasah kami untuk dua jam yang pertama.
Mungkin sudah tertulis suratan yang saya akhirnya dilepaskan setelah mendapati saya terlalu kurus untuk menjadi militan, saya bersama-sama 11 orang remaja yang lain lari meninggalkan kelompok tahanan berkenaan setelah kami diacukan senapang oleh junta sekiranya kami berdegil untuk terus berada di lokasi tahanan berkenaan.
Tujuan saya hanya satu, untuk berada di tepi sungai untuk melarikan diri ke Bangladesh. Sangkaan kami cukup meleset kerana sepanjang laluan kami ke tepi sungai yang memisahkan Myanmar dan Bangladesh, ribuan tentera Myanmar ada di mana-mana dan kami kerap kali dibelasah tanpa belas kasihan. Sehinggalah 4 daripada kelompok kami menemui ajal akibat kecederaan yang mereka alami setelah terlalu kerap di belasah.
Akhirnya, hasrat saya untuk sampai ke Bangladesh tercapai setelah begitu teruk berhadapan dengan pelbagai cabaran. Pada awalnya, 12 orang daripada kami melarikan diri dari perkampungan kami. Namun, pada hari kejayaan kami ke Bangladesh, hanya 5 orang sahaja yang mampu tiba dengan selamat. 4 orang terkorban di pertengahan jalan, dua orang mengalami kebuluran dan seorang lagi maut dihujung senjata tentera.
Setibanya kami di Bangladesh, apa yang saya harapkan jauh meleset. Untuk tiba di Cox’s Bazar, lokasi di mana saya harapkan dapat mencari perlindungan, cabarannya juga bukan mudah. Selain terpaksa berhadapan dengan pemeriksaan ketat tentera Bangladesh, kelaparan juga antara halangan yang menjadikan saya cukup lemah untuk tiba di Cox’s Bazar.
Seperti yang kerap ditunjukkan di media, keadaan di Cox’s Bazar sememangnya amat menyedihkan. Saya anggarkan, lebih 200 ribu orang mencari perlindungan di kawasan berkenaan. Lebih memburukkan keadaan, puluhan ejen penyeludup manusia juga berlegar-legar di kawasan penempatan dengan menawarkan pelbagai berita indah untuk mengaburi mereka yang mencari perlindungan.
Seperti orang lain, saya juga terpengaruh dengan pelbagai cerita indah dan janji menarik yang mereka taburkan. Justeru, disatu kesempatan, saya akhirnya terpilih untuk menaiki sebuah kapal yang dikatakan penyeludup sebagai perjalanan menuju ke “syurga dunia”. Jangan fikir pengangkutan ini percuma kerana saya perlu membayar lebih RM 3,000 kepada penyeludup untuk membolehkan saya menaiki kapal berkenaan.
Untuk mencari wang berkenaan, saya meluangkan hampir setahun mencari wang dengan bekerja di beberapa tempat di sekitar Cox’s Bazar. Bayangkan dengan upah serendah RM 3 sehari, saya mampu menyimpan RM 2,000 dalam setahun hanya untuk mencari sesuatu yang hanya saya dapat bayangan sebelum ini. Mujur, penyeludup berkenaan menerima bayaran saya itu dan membolehkan saya berada di dalam sebuah kapal atau layak saya panggil tongkang.
Bermulalah perjalanan saya dengan ratusan orang yang lain sehinggakan jika hendak duduk sekali pun terpasa mengambil giliran. Di hadapan saya, lebih 100 orang menemui ajal dengan jenazah mereka di campakkan kelaut. Itu belum lagi dengan masalah makanan kerana penyuludup hanya berjanji untuk menyeludup kami ke Malaysia, Thailand atau Indonesia tetapi tidak menjanjikan keselesaan dan makanan.
Saya sendiri tidak pasti berapa lama saya berada di laut sehinggalah pada satu malam, penyuludup bertindak meninggalkan kami di atas kapal. Rupanya pada ketika itu, kapal kami telah bertembung dengan penguatkuasa laut (maritim) Malaysia berhampiran dengan negeri Perlis. Maka, bermulalah perjalanan hidup saya di tempat baru yang saya anggap sebagai sebuah negara yang cukup makmur dan aman di dunia.
Apa yang ingin saya sampaikan adalah, apa yang digambarkan oleh media di Rakhine dan beberapa kawasan sekitarnya, adalah kejadian yang sebenar-benarnya berlaku. Di hadapan saya sendiri, junta tentera mengakui mendapat arahan dari orang atasannya untuk menghapuskan seluruh etnik Rohingya dan beberapa etnik yang lain kerana mereka menganggap kami sebagai etnik paling hina di Myanmar.
Mereka mengakui, ada mendengar kata-kata dari beberapa orang Sami yang menyampaikan amanat, setiap satu nyawa orang Islam di Myanmar di bunuh, maka syurga hakiki menanti mereka yang berjaya membunuh orang Islam berkenaan. Jadi, saya simpulkan bahawa, sememangnya mereka mahu menghapuskan terus keturunan dan etnik kami dari muka bumi ini.
Hari ini, setelah lebih setahun saya memperolehi kad UNHCR ini, ingatan saya terus terimbau terhadap nasib ibu dan dua orang adik perempuan saya. Di dalam hati saya, saya yakin mereka masih hidup cuma, pada masa yang sama, saya juga cukup yakin bahawa mereka hari ini telah dirosakkan oleh tentera Myanmar atau dalam bahasa lebih mudah, dijadikan pemuas nafsu tentera Myanmar. Inilah nasib kami etnik Rohingya di tanahair kami sendiri.
- Artikel ini berdasarkan pengakuan sebenar seorang pemegang kad UNHCR dari Rohingya yang mendapat perlindungan di Malaysia. Artikel ini mempunyai sedikit rombakan setelah diambil kira gaya bahasa Rahman yang agak kurang fasih lagi berbahasa Melayu. Jadikan pengalaman Rahman ini sebagai pengajaran untuk kita.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini