Get $25 free
loading...

Media baharu dan impaknya kepada masyarakat

Reaksi segera dan kemarahan orang ramai dalam dunia siber boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

MEDIA-BAHARU
fmt-ohsem-inside-article1Rakyat Malaysia baru-baru ini kecoh dengan episod ‘kedai dobi mesra Muslim’ di Muar, Johor yang dirasakan tidak menjaga sensitiviti terhadap perasaan masyarakat majmuk negara ini.

Pemilik kedai dobi layan diri itu dilemparkan dengan pelbagai tohmahan, terutamanya daripada netizen, yang kebanyakannya berpendapat pemilik kedai dobi itu bersifat perkauman dan mengamalkan diskriminasi.

Namun, ramai juga yang berbeza pendapat. Ada yang mempersoal maksud perkauman seperti yang dihebohkan?

Ada yang berpendapat pemilik perniagaan berhak menentukan pelanggannya selain melontarkan soalan jika menitikberatkan aspek kebersihan seperti saranan agama menjadi satu kesalahan. Juga, kenapa tidak dianggap perkauman jika perkara serupa dilakukan oleh kaum lain?

Perkara itu tidak berakhir dengan kisah kedai dobi. Salon kecantikan di Seremban 2 dengan kain rentang yang tertera “Hak milik Bumiputera” dan “Ruang Muslimah disediakan”, juga mendapat perhatian termasuk dalam kalangan netizen, namun masih terkawal.

Satu perkara yang dapat dilihat daripada kedua-dua episod itu adalah reaksi segera dan kemarahan orang ramai dalam dunia siber boleh menyebabkan ketegangan dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Reaksi itu dilihat sebagai pendapat kolektif umum tanpa mengira sama ada ianya benar atau sebaliknya. Dan, keadaan itu berlaku kerana media baharu kini dilihat sebagai satu keperluan bagi generasi muda.

Dr. Mohd Khairie Ahmad, seorang pakar teknologi multimedia dan komunikasi berkata isu-isu perkauman bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa tetapi apa yang baharu adalah media baharu yang berkali-kali membantu mencetuskan kekecohan atau memburukkan keadaan.

“Media baharu dengan mudah boleh memperbesarkan perkara-perkara kecil. Media baharu bersifat ‘personalise’ dan interaktif yang mana kita boleh berbalas komen dan berdebat, apatah lagi ditambah dengan gambar, video dan adakalanya ‘live streaming’. Ia tersebar kepada khalayak, dalam masa singkat sekali gus boleh mengundang pelbagai reaksi,” kata Pensyarah Kanan yang juga Felo di ‘Advanced Communication Research Unit’ Pusat Pengajian Teknologi Multimedia (amp) Komunikasi Universiti Utara Malaysia itu kepada Bernama baru-baru ini.

Tambah beliau, masyarakat mungkin menerima maklumat yang sama terutama yang tular di media sosial, tetapi masing-masing memahami dan mentafsir kandungannya dalam konteks berbeza.

“Memandangkan kita tidak dapat menyekat masyarakat daripada mempunyai pandangan atau pentafsiran yang berbeza, para pengguna media sosial perlu celik media dan mengamalkan ‘self-regulation’ dan ‘self-censorship’. Apabila seseorang menerima sesuatu mesej atau membaca sesuatu yang ditularkan, kita perlu berfikir dan menilai secara rasional.

“Dalam konsep literasi media, masyarakat harus matang dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima sama ada boleh dipercayai atau tidak dan sama ada wajar dikongsi atau tidak bagi mengelak implikasi negatif ke atas masyarakat memandangkan tidak semua orang mempunyai pemahaman yang sama,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairie berkata contoh pertama berhubung perniagaan dobi layan diri adalah dimaksudkan untuk kelompok pelanggan tertentu dan tidak bermaksud menimbulkan sebarang masalah kepada sesiapa pun. Bagaimanapun, cara perkara itu dimainkan dan ditular menyebabkan tercetusnya kegelisahan dan kekecewaan orang ramai.

Pemilik kedai dobi itu mungkin ingin memberi perkhidmatan untuk kelompok tertentu atau mempunyai rancangan untuk mewujudkan pasaran tertumpu (niche market) untuk perniagaannya. Itu adalah strategi perniagaan dan tidak bermaksud mendiskriminasi mana-mana pihak.

Beliau juga memberi contoh di mana kebanyakan iklan termasuk dalam akhbar tempatan turut menawarkan pekerjaan hanya untuk kaum tertentu. Bezanya, mereka lebih berhati-hati dalam pendekatan dengan tidak menyatakan etnik pemohon yang diperlukan, namun menyebut keperluan terhadap pemohon yang mahir dalam bahasa tertentu dan secara tidak langsung menunjukkan etnik yang dimaksudkan.

“Perkara seperti ini sering dilakukan oleh pemilik perniagaan yang ingin memenuhi keperluan mana-mana segmen pasaran atau melakukan sesuatu yang kreatif agar dapat bertahan dalam pasaran yang sangat kompetitif. Iklan hartanah juga ada yang menyatakan, ‘dikhaskan untuk bumiputera’ tetapi tidak menjadi isu mungkin kerana diwartakan dalam perundangan,” katanya.

“Begitu juga dengan dobi mesra Muslim. Mungkin terdapat permintaan daripada pelanggan Islam yang mahu supaya diwujudkan satu perkhidmatan dobi yang boleh memenuhi keperluan mereka.

“Justeru, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama kita harus bersifat terbuka dan melihat sesuatu itu dengan lebih positif serta mengelak daripada menyentuh soal diskriminasi atau perkauman tanpa menghargai maksud sebenarnya di sebalik sesuatu kisah yang menjadi tular. Isu-isu seperti ini nampaknya semakin rancak lebih-lebih lagi kita kini menghampiri Pilihan Raya Umum ke-14.

Kita perlu lebih cerdik dan matang dalam membezakan antara strategi perniagaan dengan isu-isu sensitif melibatkan agama, budaya dan sebagainya,” katanya sambil menambah, sebarang keraguan sepatutnya dilaporkan kepada pihak sewajarnya bagi memastikan isu itu tidak dibesar-besarkan sehingga menjadi polemik.

Mengenai keberkesanan portal sebenarnya.my yang diwujudkan bagi mengekang penyebaran berita palsu, Mohd Khairie yang mengakuinya sebagai inisiatif yang baik bagaimanapun berpendapat portal berkenaan perlu membuat liputan lebih meluas merangkumi semua aspek termasuklah politik, pendidikan, sosial dan agama.

“Ini kerana, isu yang sering diperdebatkan bukanlah mengenai berita palsu tetapi salah tafsiran atau salah gambaran mengenai isu-isu dalam media sosial oleh orang ramai. Soal bagaimana mereka memahami, menggarap dan menghadam sesuatu isu, soal palsu atau benar, itu perkara berbeza.

“Apa yang saya lihat hari ini, meskipun sesuatu berita itu benar tetapi apabila disampaikan dengan gaya dan lenggok tertentu, boleh mengundang tafsiran berbeza dan berpotensi mengundang masalah. Oleh itu, adalah penting untuk rakyat celik media, dan mengamalkan ‘self-regulation’ dan ‘self-censorship’ supaya mereka mampu mempertimbang sesuatu isu sebelum menyebarkannya kepada orang lain atau menjadi tular,” katanya.

Turut berkongsi pandangan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman yang berkata keghairahan orang ramai untuk berkongsi sesuatu maklumat tanpa mengesahkan fakta dan menjadikan media sosial sebagai satu-satunya sumber rujukan berhubung sesuatu isu, amat membimbangkan.

“Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi menyebabkan ketidakharmonian masyarakat terutama apabila sesuatu isu itu melibatkan soal perkauman, agama dan sebagainya.

“Sebagai contoh, mereka yang menjalankan perniagaan mungkin mempunyai sasaran pelanggan dan strategi tertentu, namun apabila disalahtafsir dan disebar sehingga menjadi tular, ia akan menimbulkan salah faham orang ramai,” katanya sambil menambah pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam menangani isu berkenaan.

Mohd Yusof mencadangkan agar peraturan atau undang-undang tertentu diwujudkan bagi menangani masalah itu, dan mempergiatkan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat mengenai kesan buruk jika sewenang-wenangnya menularkan isu yang membabitkan keharmonian dan keselamatan negara.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...