Demi dapat berjumpa setiap hari dengan wanita yang menjadi idaman hatinya, seorang lelaki Taiwan sanggup membeli kopi yang manis di kedai 7-Eleven setiap hari.
Lelaki yang tidak mendedahkan idendtitinya memberitahu dia menaruh hati dengan salah seorang pekerja wanita di kedai 7-Eleven sejak dua tahun lalu.
Semenjak itu, dia tidak pernah terlepas untuk membeli kopi yang manis di premis itu dan demi mendapatkan perhatian dan mahu wanita itu mengingatinya, lelaki itu memesan kopi yang ditambah dengan lima sudu gula.
Taktik lelaki tersebut berhasil apabila wanita idamannya itu terkejut dengan permintaannya dan wanita berkenaan bertanya, “Tak terlalu manis ke?”. Lelaki itu membalas, “Tak semanis awak,” katanya membuatkan wanita itu tersenyum.
Apa lagi, semenjak hari itu, lelaki itu kerap datang ke premis tersebut untuk memesan kopi dengan jumlah gula yang sama.
Tetapi selepas dua tahun meminum kopi dengan 5 sudu gula, doktor telah mengesahkan lelaki itu menghidap diabetes akibat paras gula yang tinggi dalam badan.
Lelaki malang itu berkongsi cerita sedihnya itu menerusi forum popular di Taiwan, Dcard dan mendapat maklum balas dari netizen yang bersimpati dan ada juga yang meragui kesahihan ceritanya.