- Details
- Published on Thursday, 14 January 2016 17:21
KOTA KINABALU: Polis berada di landasan tepat mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah sekitar perairan negeri apabila Pos Kawalan Keselamatan Burs Point berhampiran sempadan Pulau Sebatik, Tawau, beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, pos yang diwujudkan di lokasi strategik berhampiran sempadan negara itu menunjukkan pasukan keselamatan serius menangani masalah penyeludupan selain menutup laluan tikus yang ada di sekitar kawasan berkenaan.
"Polis optimis aktiviti penyeludupan dan jenayah di kawasan itu dapat ditangani dari semasa ke semasa.
"Pos kawalan ini akan diselia Pasukan Gerakan Am (PGA) sebelum pengagihan aset membabitkan agensi lain dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya ketika menghadiri Majlis Serah Terima Pos Kawalan Keselamatan Burs Point Daerah Tawau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Rodzi Md Saad (kiri) dan Komander Briged PGA Sabah Senior Asisten Komisioner Zanuddian Samsu Hadi.
Abdul Rashid berkata, pos kawalan bernilai RM3 juta itu sudah beroperasi secara tidak rasmi sejak 28 Disember lalu.
--Harian Metro