Get $25 free
loading...

Saya bukan perasuah sampai nak dibuang, kata Mukhriz

"Mereka beritahu Mukhriz buang banyak masa di KL, jadi apa penyelesaiannya buang sebagai MB, amboi mudahnya.

"Masalah mereka timbulkan itu saya rasa bukan susah sangat nak selesai, bukan apa sangat pun.

"Masalah itu tidak langsung menyentuh integriti saya sebagai pemimpin, tidak ada masalah berkait dengan skandal, saya tidak ada skandal," kata Mukhriz semasa berucap di hadapan kira-kira 200 penyokongnya di Ayer Hitam malam tadi.

"Tapi kita lihat kawan-kawan kita berpolitik sakan, berebut nak jadi MB, jadi exco.

"Tapi mereka tidak sentuh pun hal rakyat. Jangan nak jawatan sahaja, tapi hal rakyat ini tidak diambil tahu.

"Macam mana nak pegang kuasa itu kalau tidak ada rasa tanggungjawab ke atas kuasa yang diamanahkan oleh rakyat?" katanya.

Mukhriz berkata, alasan sebenar kumpulan itu yang bersungguh-sungguh mahu beliau dibuang ialah kerana kelantangannya bercakap mengenai kebenaran.

"Saya nak nyatakan ini apa di depan mata kita ini adalah soal kelantangan saya bercakap apa yang benar.

"Saya akan bangkitkan perkara ini kerana saya ingin melihat kebenaran terus ditegakkan dan parti dihormati supaya dalam pilihan raya umum nanti kita tetap berkuasa.

"Kalau orang politik tidak boleh bercakap benar, kita tidak akan dilihat sebagai orang yang menegakkan kebenaran. Macam mana kita nak harap rakyat nak sokong kita dalam pilihan raya?" katanya.

Mukhriz antara yang lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membabitkan kemelut syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan berkenaan wang derma RM2.6 bilion sebelum ini.

Isu 1MDB dan RM2.6 bilion juga sering dibangkitkan oleh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengkritik paling lantang Najib.

Menurut Mukhriz, nasib yang dihadapinya juga hampir sama berlaku dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri hanya kerana bercakap mengenai kebenaran.

"Nampaknya orang yang bercakap benar dia diugut untuk dipecat, ini pun sudah terbukti berlaku. Saya beberapa kali sembang dengan ahli Parlimen Pagoh, bekas timbalan perdana menteri.

"Saya apa salah Tan Sri, beliau juga berkata perkara sama mengatakan apabila nak tegakkan kebenaran tiba-tiba beliau juga jadi mangsa," katanya.

Mukhriz juga berkata, sedia menerima sebarang kemungkinan dan tidak takut kerana berada di pihak yang benar.

"Jadi, saya terima apa juga kesimpulan kepada diri saya ini kerana saya tahu berada di pihak benar.

"Itu sebab saya tidak gentar sama sekali, saya juga tidak takut dengan apa jua tindakan yang akan dikenakan ke atas diri saya ini," katanya.

Dalam perkembangan terkini, media melaporkan akuan bersumpah (SD) juga berjaya dikutip daripada 19 wakil rakyat Umno yang menyatakan tidak lagi menyokong Mukhriz. – 27 Januari, 2016.
Previous
Next Post »
loading...