Penyanyi Hazama, 31, tidak terkesan dengan kritikan sesetengah pihak yang menganggap dia tidak layak menjadi mentor sekaligus pengkritik program terbitan TV3, Mentor Milenia.
Mengakui belum berpengalaman luas namun dia menyahut cabaran tersebut dan menjadi diri sendiri ketika menjalankan tugas sebagai pengkritik.
"Saya sedar dengan kritikan yang mengatakan saya belum layak lebih-lebih lagi sebagai pengkritik. Saya akuinya. Tapi saya hanya menjadi diri sendiri dan menjalankan tugas yang telah diberikan. Saya rasa selagi saya tidak merapu, okay lah tu.
"Untuk konsert pengenalan lalu, saya tak mahu lagi komen dari segi suara. Saya nak bagi penonton kenal dulu peserta kerana ini sebuah program pertandingan.
"Untuk protege saya, saya terapkan bukan masuk program ni semata-mata nak menang tapi saya berkongsi pengalaman saya selama dalam bidang ini dan saya bagi panduan kepada mereka apa yang patut buat dan tidak patut agar apabila mereka keluar nanti mereka tahu fokus dan hala tuju dalam bidang ini," katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui pada sidang media Konsert 5 Divo bertempat di KLGCC, baru-baru ini.
Selain Hazama, Mentor Milenia turut menampilkan Azlan, Black dan Akim yang bertindak sebagai mentor.
Perkembangan lain, Hazama juga kini sibuk dengan persiapan Anugerah Juara Lagu (AJL30) yang akan berlangsung pada 24 Januari ini di Stadium Malawati Shah Alam.
Menurutnya, pada AJL kali ini dia banyak membuat persiapan dari segi vokal berbanding persembahan. Mengakui saingan sengit, namun Hazama yang dapat memberikan satu persembahan hebat dengan mempertaruhkan kekuatan vokalnya menerusi lagu Sampai Mati.
"AJL kali ini saya ada matlamat dan persiapan saya pun lebih ada vokal. Lagu kali ini pun berentak perlahan. Kali ini saya bukan saja buat persembahan tapi saya mahu penonton beri tumpuan pada vokal saya.
"Bagi saya AJL ni kalau menang juara, naib juara atau ketiga pengiktiran itu lebih kepada penulis dan pencipta lagu. Jadi sebagai penyanyi, saya mahu target kategori Vokal Terbaik," ujarnya.
Di samping itu, dia juga memberikan tumpuan pada latihan dan persiapan konsert 5 Divo yang bakal berlaangsung pada 13 Februari. Konsert anjuran LOL Entertainment itu turut menampilkan empat lagi penyanyi iaitu Hafiz, Taufik Batisah, Afgan dan Judika.
Mengulas mengenai pemilihannya menjayakan konsert bersakal besar itu, Hazam berkata dia berbesar hati menerima tarawan tersebut dan tidak mahu mensia-siakan peluang itu apatahlaagi bakal membuat persembahan dengan barisan penyanyi hebat dan popular bukan saja di Malaysia tetapi di Indonesia dan Singapura.
Pentas kali ini juga dianggap sebagai medan mencabar dirinya dan menguji kekuatan mentalnya.
"Alhamdulillah, tawaran dan rezeki saya awal tahun ini tidak putus. Walaupun terpaksa memberi tumpuan pada banyak perkara dalam satu masa tapi saya cuba memberikan komitmen sebaiknya.
"Ini konsert besar pertama saya. Peluang macam ni susah nak dapat dan pihak penganjur nampak kredibiliti saya untuk jayakan konsert ini.
"Tambahan saya digandingkan dengan empat penyanyi hebat Asia. Bahkan mereka semua sudah menang anugerah sedangkan saya belum lagi ada apa-apa pengiktirafan yang besar. Jadi saya jadikan pentas kali ini untuk mencabar diri saya sendiri untuk memberikan persembahan yang mantap.
"Selain saya juga akan menyanyi secara medley bersama Judika. Untuk konsert kali ini, saya juga akan jadi lagi kacak lah nanti," guraunya.