- Details
- Published on Thursday, 21 January 2016 10:16
Pelakon Fizz Fairuz, 36, mengakui kecewa kerana beberapa kali namanya ditolak sebuah stesen televisyen bagi membintangi drama-drama terbitan stesen tersebut sekaligus berpendapat tindakan pihak berkenaan tidak adil bagi dirinya.
Menurut Fizz, sudah hampir tiga bulan dia tidak menerima tawaran berlakon drama. Ada pun tawaran, dia terpaksa menolak kerana watak yaang diberikan adalah watak yaang sudah sering dilakonnya.
"Saya tidak kurangkan aktiviti berlakon, kalau ada tawaran saya terimm cuma tawaran yang datang kebanyakannya watak yang sama dan sudah banyak kali saya lakonkan.
"Sebenarnya saya juga berasa kecewa kerana sejak kebelakangan ini nama saya sering ditolak oleh sebuah stesen tv atas alasan saya tidak layak melakonkan watak itu dan digantikan dengan bakat baru.
"Saya rasa sekarang ini begitu mudah untuk bakat baru menerajui watak utama sesebuah drama berbanding sewaktu di zaman saya mula-mula berlakon, peluang untuk memengang watak utama dalam sesebuah drama sangat susah. Jika belum betul-betul terbukti berbakat dalam lakonan, memang seseorang pelakon itu tidak akan dipandang oleh pihak penerbit apatahlagi dapat berlakon dalam drama untuk slot-slot utama sesebuah stesen.
"Saya berasa tidak adil dan bukan saja saya malah beberapa lagi artis seangkatan saya juga merasakan kami sudah semakin dipinggirkan. Bakat baru yang ada, sesetengah mereka bakatnya belum betul-betul menyerlah tetapi disebabkan hanya kerana mempunyai paras rupa, maka dengan mudahnya boleh mendapat tawaran memengang watak utama," katanya yang turut memberitahu isterinya, pelakon Almy Nadia turut menerima nasib yang sama.
Fizz meluahkan kekecewaannya itu ketika ditemui pada majlis Karnival Hello Kitty Go Around in Malaysia, bertempat di Viva Home Cheras. Karnival tersebut yang sudah berlangsung sejak Disember tahun lalu dilanjutkan sehingga 14 Februari depan.
Bagaimanapun kata Fizz lagi, dia bersyukur kerana dia masih menerima tawaran membintangi filem disamping turut berdebar menantikan filem terbaharu lakonannya, Munafik, yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air mulai 25 Februari depan.
"Alhamdulillah walaupun tawaran drama berkurang, saya banyak dapat tawaran filem. Dan sekarang memberi komitmen sepenuhnya pada rangka promosi filem Munafik," katanya.
Dalam pada itu, kata Fizz lagi, meskipun dia sayang dengan karier lakonanya namun dia harus akur bahawa zaman popularitinya kini sudah berlalu. Justeru dia perlu mencari angin baru untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Saya masih ingat kata-kata Datuk Rosyam Nor kepada saya. Katanya, cukup masa lima tahun saya raih populariti dan nama sudah dikenali, saya harus mencari arah baru kerana kata beliau, dalam tempoh masa lima tahun itu mungkin sudah banyak watak yang saya sudah lakonkan. Jadi saya harus buat sesuatu dan tidak hanya bergantung pada rezeki bidang lakonan.
"Pada 2009 dan 2010 nama saya dicalonkan dalam beberapa anugerah. Pada tahun 2011 saya mula memenangi anugerah, pada 2012 dan 2013 karier dan populariti saya memuncak. Jadi sebenarnya tempoh populariti saya sudah berlalu. Apapun, saya percaya pada rezeki dan tetap berusaha kerana saya sayangkan karier dan dunia lakonan," katanya yang mula meraih populariti menerusi watak Ustaz Aidil dalam drama Nur Kasih.
Mengambil nasihat tersebut, rupanya dalam diam Fizz sudah pun membuat persediaan awal dalam mencari peluang dan rezeki lain sekaligus tidak hanya bergantung pada karier lakonan sahaja.
Sejak empat tahun lalu, Fizz menerusi syarikatnya yang ditubuhkannya iaitu Rain Maker Creation telah merancang sebuah projek acara mega di negeri kelahirannya Pahang. Rezekinya, dia berjaya mendapatkan projek iaitu mengendalikan Karnival Joget Pahang sempena tahun melawat Pahang 2016.
"Empat tahun saya rancang dan dalam pada itu buat proposal. Alhamdulillah, pihak kerajaan negeri menyambut baik cadangan dan perancangan daripada syarikat saya dan kami akan realisasikan karnival tersebut sebaik saja selepas pelancarannya berlangsung pada bulan hadapan. Setakat ini, mengikut perancangan lokasi pelancaran mungkin akan diadakan di Termerloh atau di daerah kelahiran saya, Raub.
"Kemudian kami akan menjelajah ke segenap daerah di Pahang dan mencari bakat tidak mengira usia tapi yang penting dia pandai menari joget Pahang dan kita akan adakan pertadingan Idea untuk mengadakan karnival ini tercetus apabila saya memikirkan yang tarian tradisional Joget Pahang semakin dilupakan oleh generasi hari ini. Jadi saya senagai anak jati Pahang mahu mengembali dan memartabatkan joget tradisi ini.
"Selain tarian, karnival ini juga akan dimeriahkan lagi dengan acara pertandingan memasak menu tradisional iaitu ikan patin. Saya sudah usulkan idea ini kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan beliau menyambut baik akan menyokong sepenuhnya aktiviti ini. Disamping itu, akan diadakan perlawanan bola sepak di kalangan bekas-bekas pemain pasukan Pahang.
"Sebenarnya banyak lagi perancangan yang pihak syarikat saya sudah rancang sepanjang tahun ini. Mungkin ini juga salah satu peluang dan rezeki baru saya sambil meneruskan karier lakonan," katanya.
- mD