Kuala Lumpur: Pemandu BMW yang merempuh enam individu dan menyebabkan tiga maut, menyerah diri di Balai Polis Tun HS Lee, di sini, pada 7.30 malam tadi.
Sumber polis berkata, lelaki berusia 25 tahun itu hadir ke balai polis selepas dipujuk.
"Suspek hadir ke balai polis selepas polis memujuk dia menerusi telefon bimbit.
"Sejurus selesai dia membuat laporan, polis terus menahannya untuk membantu siasatan.
"Polis akan merekodkan keterangannya dan jika ada keperluan untuk melanjutkan penahannya, kita akan mohon reman," katanya.
Terdahulu, Ketua Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, dipetik berkata BMW terbabit milik perempuan berumur 51 tahun dari Jelutong, Pulau Pinang.
Penahanan lelaki itu ada kaitan dengan kejadian awal pagi Sabtu, 23 Januari, yang menyaksikan tiga terbunuh termasuk wanita manakala tiga parah dirempuh BMW di Jalan Sungai Besi.
Mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan 15 penganut Hindu yang berjalan dari Senawang untuk ke Batu Caves sempena Thaipusam apabila kemalangan pada 7.30 pagi. - Harian metro