- Details
- Published on Friday, 22 January 2016 08:28
Usianya baru lapan bulan. Belum pun pandai berjalan. Apatahlagi bercakap. Namun anak kecil comel ini sudah mencuri perhatian dunia sejak lahir.
Masakan tidak, dunia tidak berhenti-henti bercakap mengenai si bayi bermata biru ini apabila ibu bapanya, Putera William dan Kate Middelton berkongsi gambarnya kepada umum. Ramai menyebut tentunya bayi yang cukup bertuah ini akan membesar sebagai seorang puteri yang sangat cantik.
Terbaharu, majalah Tatler telah menyenaraikan seramai 620 Individu Paling Berpengaruh di British dan memilih anak kedua pasangan Duke & Duchess of Cambridge ini di kedudukan nombor satu dalam senarai.
Tambah menjadi bualan hangat ramai, Charlotte bukan saja dalam disenaraikan di kedudukan teratas sekaligus mendahului moyangnya, Ratu Elizabeth II, ibu bapanya sendiri juga abangnya, Putera George yang berusia 2 tahun.
Mengulas mengenai pemilihan Charlotte, majalah tersebut berkata,
"Princess Charlotte Elizabeth Diana telah menjadi tumpuan dunia sejak 'penampilan' pertamanya ketika ibunya mendukungnya keluar dari Hospital St Mary, hanya selepas beberapa jam dia dilahirkan"
"Ternyata si kecil itu sangat cantik dan membawa kegembiraan sekaligus telah berjaya memenangi hati ramai orang meskipun ketika itu kita semua belum mengetahui banyak perkara mengenainya kecuali dia berada di kedudukan keempat yang bakal mewarisi takhta keluarganya kelak", kata wakil majalah tersebut.
Sementara ibunya Kate Middleton berada di posisi tepat iaitu dibawah Charlotte sebagai orang yang dianggap paling Berpengaruh di British. Menyusul di bawahnya adalah ayahnya, William, yang harus berpuas menempati posisi ketiga.
Putera Goerge pula yang baru saja memberi kebenaran namanya digunapakai untuk sebuah taman tema dan pendidikan kanak-kanak, berada di posisi keempat.
Manakala bapa saudaranya, Putera Harry, 31, berada di kedudukan yang agak rendah iaitu di kedudukan ke-17.
Tak hanya keluarga Diraja yang tersenarai, beberapa selebriti berketurunan British juga dianggap mempunyai pengaruh yang besar.
Di antaranya adalah Eddie Redmayne di posisi 12, Keira Knightley di posisi 24 hingga Adele yang jauh berada di posisi 212.
Bagaimanapun majalah tersebut tidak memberikan sebab yang spesifik mengapa nama-nama tersebut yang dipilih.