- Details
- Published on Wednesday, 27 January 2016 09:30
Penyanyi juga ikon media sosial berpengaruh, Fynn Jamal, mengakui ada sesetengah pihak mempersoalkan penampilannya yang sering berjubah hitam bahkan gara-gara imej itu dirinya didakwa kononnya membawa identiti sebagai pengikut kumpulan fahaman Syiah.
Membidas dakwaan tersebut, Fynn atau nama Nur Affina Yanti Jamalludin, berkata, penampilannya langsung tiada kaitan dengan identiti mahupun ciri-ciri mana-mana pihak atau kumpulan tertentu.
"Memang ada yang menegur saya kenapa asyik pakai baju sama, jubah hitam. Sehinggakan ada yang sangka saya penganut Syiah. Saya ingin tegaskan, saya tidak membawa apa-apa perlambangan mahupun perlambangan Syiah, kalau tak percaya boleh berjemaah bersama-sama saya dan boleh dengar saya bertakbir.
"Sebenarnya dalam almari saya hanya ada lima jubah hitam, ada sehelai cardigan dan beberapa koleksi baju musim sejuk," jelasnya sekaligus mengulas dakwaan tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media dan pelancaran Caliph Cereal For Eyes bertempat di Flora Terrace, Ampang, pada Selasa.
Menurut pelantun lagu Arjuna Beta ini, pemilihan warna hitam merupakan citarasanya sejak beberapa tahun lalu. Baginya kekerapan memakai baju warna yang sama berulang kali bukan sesuatu yang pelik.
Katanya, busana jubah lebih mudah dan cepat baginya untuk menyesuaikan dalam apa keadaan berbanding pakaian lain yang memerlukan dia mengambil masa yang lama untuk membuat pilihan.
"Saya sedar benda macam ni ada persaman dengan ikon dunia misalnya seperti Mark Zuckerberg dan Steve Job. Dan Rasulullah juga mempunyai hanya dua baju dalam satu masa. Saya ada lima, okay lah tu kan...
"Setiap pagi jika mahu keluar rumah, saya peruntukkan masa hanya 10 minit saja untuk bersiap. Jadi paling senang ialah pilih warna hitam. Apa yang penting saya pakai baju yang bersih, selesa dan saya tidak mengganggu orang lain.
"Bukan tidak mahu memakai baju warna lain, tetapi saya rasa zaman itu sudah berlalu. Lagipun saya dan suami, kami memang sangat simple dari segi pemakaian," tuturnya.
Bukan setakat teguran daripada pihak lain malah kata Fynn, keluarganya juga keluarga mertua turut menegur pemilihan warna bajunya juga baju suaminya yang turut mempunyai citarasa sama sepertinya.
"Kalau nak tahu, keluarga dan keluarga mertua pun ada menegur kami kenapa asyik pakai baju warna hitam. Kata mereka. bukannya kami tidak mampu membeli baju lain.
"Memang betul, bukan kami tak ada duit nak beli baju lain tapi bagi saya dan suami, kalau bab berbelanja untuk pakaian memang kami tidak berlebih-lebih sangat. Tapi sebenarnya kami lebih suka berbelanja besar untuk gadjet dan makan," ceritanya sambil tertawa.
Menyesal Jual Sambal?
Sementara itu, Fynn turut mengulas mengenai satu lagi isu yang mengaitkan namanya berhubung produk yang diberi nama 'ibu sambal' yang mencetuskan kontroversi selepas ia menjadi viral di laman sosial.
"Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak pernah menerima apa-apa produk sambal daripada mana-mana pihak mahupun permintaan untuk saya membuat reviu mengenai sambal.
"Saya tidak tahu bagaimana boleh timbul isu saya meniru produk sambal orang lain sedangkan saya selalu kongsi resepi-resepi saya di laman sosial sebagai memberi galakkan pada pengikut saya supaya mereka rajin memasak. Lagipun bukanlah susah sangat resepi nak buat sambal.
"Jadi bila isu ini timbul, saya rasa kelakar. Saya tunggu juga pihak yang mendakwa saya meniru produk mereka agar tampil dan menjelaskan perkara itu, tapi sehingga sekarang tiada siapa pun tampil.
"Sebenarnya idea hendak mengeluarkan produk sambal ini timbul sejak saya menyertai karnival Vendorfestival baru-baru ini. Kebetulan ketika itu saya merancang mahu jual lempeng. Jadi saya pun buatlah sambalnya sekali. Saya buat hanya 100 botol saja. Manalah tahu kalau ada pelanggan nak beli dan bawa balik.
"Tak sangka sambutannya menggalakkan dan dalam masa sama timbul pula kontroversi ini. Tak sangka, 100 botol sambal nilah yang menyusahkan hidup saya (ketawa). Saya dah mula menyesal buat sambal. Manakan tidak, sampaikan ada pula orang kata saya sekarang sudah ada kilang sambal. Malah isu sambal ni sudah jadi isu besar pula, itu yang lucu," ujarnya dengan panjang lebar sambil tertawa.
Mengenai perkembangan kerjaya pula, Fynn bakal muncul dengan single terbaru berjudul Kalau. Istimewanya menerusi lagu tersebut dia berkolaborasi dengan kumpulan Kopratasa.
- mD