Get $25 free
loading...

'USTAZ..BAGAIMANA AURAT WANITA JIKA TINGGAL BERSAMA ADIK IPAR (BUKAN MAHRAM)?'

Kelonggaran Aurat Wanita Di Rumah.jpg
Soalan:  Saya ada sedikit pertanyaan, jika seorang wanita bertandang ke rumah mertuanya yang tinggal bersama adik ipar (bukan mahram), bagaimana auratnya? Perlukah ditutup lengkap sepeti biasa atau ada kelonggaran?
Jawapan:
Adik ipar bukan mahram dan wanita kena tutup aurat dan tidak boleh bersalaman dengan mereka. Jika di rumah diberi kelonggaran sedikit tak payah pakai stoking kerana kesukaran untuk memasuki tandas (mengikut mazhab Syafie jari-jari kaki dan tapak kaki adalah aurat). Menurut Mazhab Hanafi, menurut riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah, tapak kaki (dalam bahasa Arab, perkataan al-qadam bermaksud tapak kaki merangkumi bahagian atas, iaitu kura-kura kaki dan bawah) bukan aurat. Maka harus mendedahkannya serta harus bagi lelaki ajnabi melihatnya.
Hujjahnya ialah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat (dan janganlah wanita mukminah mendedahkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya), maksud “apa yang zahir” yang disebut di dalam ayat itu ialah “al-qulbu wal-fatakhah”, iaitu cincin yang dipakai dijari kaki. Maka ini menunjukkan bahawa harus mendedahkannya kerana Allah Ta’ala melarang wanita mendedahkan perhiasan, dan Dia mengecualikan apa yang zahir. Dari segi logiknya kita lihat, tapak kaki memang terdedah ketika berjalan. Maka ia termasuk dalam anggota yang dikecualikan daripada kewajipan menutupnya.
Sebaliknya, tapak kaki tidak ada keperluan untuk membukanya. Maka ia wajib ditutup. jika ada keperluan maka boleh dibuka. Bahagian lain kena tutup seperti biasa. Wallahua’lam
Ulama mempunyai pandangan dan tafsiran berbeza namun mereka adalah mujtahid yang datang dengan dalil sah dalam hal ini.
Tidak perlu menyatakan satu pandangan lebih muktamad, benar atau lebih baik atau lebih tepat daripada yang lain. Ini kerana sikap merasa paling benar sendiri bukan ciri ulama.
Semua bukan ciri dari seorang yang berilmu, sebaliknya menandakan kurangnya fahaman seseorang. Di sinilah terletak perbezaan asasi antara ulama dengan orang awam yang sedikit ilmu.
Seorang yang banyak ilmunya memiliki sekian banyak wawasan dan mudah menerima dan memaklumi perbezaan pendapat daripada orang lain.
Sebaliknya, seorang yang kerdil ilmu mudah melemparkan tuduhan. Seolah-olah di dunia ini hanya dirinya yang benar, sedangkan orang lain salah.
Berikut saya perturunkan pandangan ulama yang berbeza dalam hal ini.
Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita tidak termasuk dalam lingkungan aurat.
Mazhab Maliki dalam pendapat muktamad mengatakan kaki bukan aurat.
Mazhab Syafi’e pula mengatakan ia sebagai aurat.
Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.
Ia boleh merujuk kepada kitab Feq ala Mazahib Arbaah juz 1 muka surat 584 dan Al-Mufassal Dr Abb Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya, “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa albait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah, Jilid 3, masalah 2282, ms 198)
Tidak ada nas yang direct atau langsung dalam masalah ini melainkan sepotong ayat umum dari Surah an-Nuur ayat 31 , “…dan janganlah mereka (perempuan Islam) menzahirkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak dari padanya…”
Secebis ayat umum ini telah melahirkan pelbagai pendapat fiqih mengenai apakah yg boleh dizahirkan oleh perempuan kepada umum bila mereka keluar dari rumah-rumah mereka. Kami simpulkan:
a. Fiqh Hanafi menetapkan dua kaki wanita bukanlah aurat kerana ia termasuk apa yg biasa nampak darinya kerana keperluan wanita melakukan pekerjaan hariannya. (alKasani, alBada’iy alSana’iy: Kitab alIstihsan, Jld 5)
b. Fiqh Syafi’iyah, ada dua pendapat:
1. Imam Muhyidin anNawawi (Syarah alMuhadzab,:3/173) kaki wanita adalah aurat.
2. Imam alMuzani pula berpendapat kaki bukan aurat.
c. Imam atsTsauri juga berpendapat kaki bukan aurat (Syarah alMuhadzab, op cit, ms 173)
d. Fiqh Maliki menetapkan kaki adalah aurat ( alMudawwanah: 1/109; Syarah alKabeer: 1/215)
e. Fiqh alHanbaliah juga menetapkan kaki adalah aurat (alMughny: 1/601)
Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis)
Bila ada banyak pendapat, maka kita beralih pada Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis):
a. Imam asySyawkani (Nailool Awthor: 2/144) dan Tafsirnya, Fathul Qadeer: Tafsir surah anNuur) memilih pendapat bahawa kaki bukanlah aurat kerana memberi kemudahan kepada wanita.
b. Allamah Siddiq Hasan Khan (Nailool Maram: Tafsir surat anNuur ayat 31) memilih pendapat kaki bukan aurat.
c. Syaikhul Islam a Imam Salafiya Taqiyuddin Ahmed Ibn Taymiyah alharani (Majmu’ Fatawa, cetakan Riyadh, Jld 22/114-115) juga memilih pendapat kaki bukanlah aurat kerana ia merupakan kesulitan bagi wanita baik dalam solat dan di luar solat berdasarkan Hadis Aisyah ra yg mentafsirkan “apa yg biasa nampak” dalam surah anNuur ialah termasuk Fatkhah (cincin yg dipakaikan oleh wanita Arab pada jari kaki)
Pendapat yang Rajih : 
Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya berjudul : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198) ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya.
Kesimpulan : Saya setuju mengatakan kaki adalah aurat tetapi apabila ada keperluan seperti dirumah mertua hendak masuk tandas atau bilik mandi wanita tak payahlah pakai stokin hingga masuk tandas boleh membukanya kerana ada hajat. Tetapi apabila keluar rumah eloklah pakai stoking menutup kaki daripada dilihat oleh lelaki ajnabi. Wallahu a’lam
Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.
Previous
Next Post »
loading...