KERAJAAN Brunei Darussalam dilaporkan telah mengharamkan penjualan beberapa produk kosmetik dan kesihatan termasuk dua produk jenama Qu Puteh susulan didakwa mengandungi bahan berbahaya.
Menurut laporan portal The Brunei Times, ujian dijalankan Jabatan Perkhidmatan Farmasi itu mendapati krim pemutih Qu Puteh Whitening Pro 9, Qu Puteh Whitening UV Block mengandungi kandungan raksa atau lebih dikenali sebagai merkuri.
Manakala, satu lagi produk pengurusan badan iaitu Chantique Beauty Slimming Herbal dikesan mengandungi bahan kimia dikenali sebagai spironolakton.
Dalam satu kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Brunei, penggunaan merkuri boleh menyebabkan ruam kulit, hilang ingatan, kelemahan otot dan merosakkan otak serta ginjal.
Sementara penggunaan spironolakton tanpa penyeliaan boleh menyebabkan rasa dedar, keliru, mengantuk, pening, bengkak payudara, kitaran haid tidak teratur, kejang, rambut gugur dan ruam.
Justeru, kementerian tersebut menyatakan bahawa produk-produk Qu Puter berkenaan yang mengandungi bahan-bahan berbahaya itu tidak dibenarkan diimport dan dijual di pasaran Brunei.
Sesiapa yang didapati melanggar peraturan itu boleh dihukum denda maksimum B$5,000 (RM15,000), atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Seperti umum maklum, produk Qu Puteh edaran Vida Beauty Sdn. Bhd. adalah milik usahawan popular, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman, lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida.
Berita larangan penjualan produk ini di Brunei pastinya mengejutkan ramai kerana Datuk Seri Vida sering kali muncul di kaca televisyen dan menaja banyak program hiburan berprestij serta menaja pasukan bola sepak Kelatan bagi mempromosikan produknya.