Suspek hantar kedua-dua anaknya untuk rawatan dan pihak hospital curiga dengan kecederaan dialami kanak-kanak itu.
SEGAMAT: Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis kira-kira 11.00 pagi tadi bagi membantu siasatan kes penderaan 2 anaknya masing-masing berusia 8 dan 5 tahun semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata lelaki itu dipercayai bertindak memukul anak perempuannya berusia 8 tahun sebelum menghempasnya ke lantai dalam kejadian kira-kira 7.00 pagi semalam di rumah mereka di Segamat Baru.
Beliau berkata lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kemudian bertindak memijak anak lelakinya berusia 5 tahun, manakala isterinya berusia 30-an yang berada di tempat kejadian tidak dapat berbuat apa-apa.
“Suspek kemudian menghantar kedua-dua anaknya untuk rawatan di Hospital Segamat, pihak hospital merawat mangsa curiga dengan kecederaan dialami kanak-kanak itu sebelum memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata polis masih menunggu laporan perubatan kedua-dua mangsa dan pihaknya memandang serius kes itu kerana melibatkan penderaan fizikal serta mental terhadap kanak-kanak.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan lelaki itu ditahan reman selama 4 hari sehingga Jumaat ini.
Comments
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini