Sekurang-kurangnya 144 kisah kejayaan utama di Terengganu menjadi bukti kecemerlangan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kejayaan dalam tempoh lima tahun itu dicapai dalam enam bidang iaitu sosial dan keagamaan, ekonomi, keusahawanan, sukan, pendidikan serta pembangunan fizikal.
Lebih membanggakan, katanya, kisah kejayaan yang akan dipamerkan di Ekspo Terengganu 2018 itu, berjaya dilakarkan ketika kerajaan negeri berdepan pelbagai dugaan, khususnya ketidaktentuan ekonomi serta politik.
“Dalam keadaan kita menang 15-17 (kerusi Dewan Undangan Negeri) dan kejatuhan harga minyak yang memberi impak pada ekonomi negeri, sudah pasti banyak perkara kita hadapi.
“Namun, sepanjang saya memimpin Terengganu, tidak kurang 144 kisah kejayaan besar dicipta, sama ada di peringkat negara atau antarabangsa.
“Ini hasil kejayaan pelan transformasi yang kini meletakkan Terengganu di atas landasan tepat untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri kepada lapan peratus pada 2020 serta pendapatan isi rumah sebanyak RM8,000,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menjadi tetamu jemputan dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) bagi mempromosi Ekspo Terengganu 2018.
Ekspo Terengganu 2018 akan berlangsung pada 25 Februari hingga 3 Mac depan, di Kompleks Sukan Negeri Terengganu,
Antara tarikan utamanya adalah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah rumah pangsapuri, lot tanah perumahan dan pertanian, kenderaan serta barangan elektronik.
Ahmad Razif berkata, beberapa kejayaan yang dihasilkannya ialah mentransformasi industri pelancongan Terengganu dengan menjadikan negeri itu destinasi yang memiliki infrastruktur bertaraf dunia.
Beliau juga berjaya mengangkat produk Terengganu, iaitu keropok lekor dan nasi dagang ke peringkat antarabangsa dengan mengeksport makanan itu ke United Kingdom, Singapura dan Australia.
“Sebelum ini, kita menghantar 2,000 pek nasi dagang dan keropok lekor ke United Kingdom dan habis tidak sampai sebulan. Kita akan menambah 20,000 pek lagi ke sana dan ia akan diperhebatkan pada masa depan,” katanya.
Ahmad Razif, yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata, kerajaan negeri pimpinannya turut berjaya melahirkan usahawan dalam kalangan anak Terengganu melalui program Graduan Usahawan Terengganu.
“Antaranya adalah kisah kejayaan Mohd Sulaiman Umar yang berlatarbelakang kejuruteraan, namun membuat penternakan udang hingga berjaya memperoleh pendapatan lebih RM1 juta.
“Kerajaan Terengganu juga membina 10,000 rumah mampu milik pada kos RM140,000, namun dijual pada harga RM68,000, selain menawarkan 5,910 lot tanah kepada mana-mana anak Terengganu yang tidak mempunyai tanah. Ia akan diagihkan bulan ini,” katanya.
sumber: beritaharian
-PRU14.TV
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini