Pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mampu meletakkan Malaysia pada asas semakin kukuh yang membawa ke arah masa depan yang diimpikan rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini dibuktikan daripada kemasukan pelaburan asing yang memilih Malaysia sebagai tapak untuk mereka mengembangkan perniagaan, khususnya untuk pasaran ASEAN.
“Saya baru selesai majlis sebelum bertolak ke sini dengan Groupe PSA dari Perancis. PSA ini pemilik jenama Peugeot. Pada majlis tersebut, kita menandatangani usahasama dengan kerjasama Kumpulan Naza yang mana PSA telah memilih Gurun, Kedah sebagai tapak untuk rantau ASEAN keluarkan kereta bagi pasaran negara ASEAN.
“Saya tanya kepada naib presiden ekksekutifnya, kenapa pilih Malaysia. Dia kata kerana dia yakin dengan dasar-dasar kerajaan kita,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, hari ini.
Selain PSA, Najib berkata turut berminat menjadikan Malaysia sebagai tapak perniagaan untuk rantau ASEAN, Timur Tengah dan India adalah SK Group dari Korea Selatan.
Najib berkata hasil pendapatan SK Group mencecah kira-kira US$123 bilion atau RM500 bilion setahun, berbanding Malaysia yang memperoleh pendapatan RM280 bilion setahun.
“SK Group ada teknologi 5G. Sekarang kita pakai 4G. 5G Berpuluh kali lebih pantas daripada 4G. Syarikat Fortune 100 ini pilih Malaysia sebagai tapak di rantau ini,” katanya.
Jumaat lepas, Kementerian Kewangan bersama SK Group memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk permulaan kerjasama kreatif dalam bidang utama, seperti ICT, 5G, minyak dan gas serta teknologi hijau, serta pembangunan bandar.
Pada majlis itu, SK Group iaitu Syarikat Fortune 100 yang juga konglomerat kedua terbesar dari segi permodalan pasaran di Korea Selatan mengumumkan untuk membuka ibu pejabat serantau di Malaysia bagi meliputi ASEAN, India dan Timur Tengah.
Ia bagi mewujudkan peluang pertumbuhan tinggi baharu dan pelaburan dalam sektor utama ekonomi.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini