PPBM mungkin dipilih kerana calon perdana menteri datang daripada parti itu manakala PKR ada Sabah dan Sarawak.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar akan menggunakan lambang PPBM atau PKR, kata seorang penganalisis politik.
Kamarul Zaman Yusoff, pengarah di Institut Kajian Politik Malaysia di Universiti Utara Malaysia berkata PPBM mungkin dipilih kerana calon perdana menteri gabungan itu daripada parti itu.
“Lambang mereka perlu digunakan, tambahan pula, berdasarkan perkembangan politik sekarang, PH lebih memerlukan sokongan pengundi Melayu berbanding sokongan pengundi Melayu, yang lebih kurang sudah agak terjamin.”
Atas sebab itu, beliau menepis lambang DAP akan dipilih sebagai lambang gabungan itu pada pilihan raya umum ke-14.
“Penggunaan lambang PPBM mungkin lebih menarik pengundi Melayu berbanding lambang DAP yang sudah menjadi seperti satu benda yang ditakuti. Pengundi Melayu sudah ‘allergic’ dengan DAP…sudah tentu pengundi Melayu sukar menyokong PH jika lambang DAP digunakan.”
Beliau juga tidak yakin PH akan memilih lambang parti serpihan PAS, Amanah.
“Parti yang masih baharu, tidak teruji, dikaitkan dengan DAP dan dikatakan tidak mempunyai pengaruh besar,” katanya.
PKR lebih terkenal
Pilihan seterusnya ialah PKR, yang bagi Kamarul lebih dikenali selain DAP memandangkan parti itu wujud sejak 1998.
Beliau berkata PKR juga bertanding di lebih banyak kerusi di Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu berbanding parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.
“PKR adalah pemegang kerusi terbanyak di dalam Pakatan Harapan. Sudah tentulah PKR mahu lambang PKR digunakan sebagai lambang bersama Pakatan Harapan.
“Begitu juga kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol kezaliman, simbol ketidakadilan kerajaan dan beliaulah diuar-uarkan sebagai perdana menteri sebenar di dalam Pakatan Harapan jika Pakatan Harapan menang,” katanya.
PKR ada Sabah, Sarawak
Kamarul berkata sebab paling kuat yang akan mendorong PH menggunakan lambang PKR adalah Sabah dan Sarawak yang penting dalam percaturan mereka membentuk kerajaan.
“Sabah dan Sarawak ini tiada PPBM dan PPBM tidak begitu diterima dan tidak begitu dikenali oleh rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
“Bagaimanapun, walaupun PPBM tidak begitu dikenali menyeluruh oleh rakyat Sabah dan Sarawak, nama Dr Mahathir adalah satu aset yang besar untuk PH. PPBM boleh mempertikaikan yang dinamakan perdana menteri itu adalah Dr Mahathir.”
Mengulas mengenai peluang kemenangan PH menggunakan satu lambang, Kamarul Zaman menyatakan ia sebenarnya hanya melambangkan kesatuan.
Dasar bersama gabungan itu lebih penting bagi penganalisis itu.
“Sudah tentulah ia akan lebih mencerahkan lagi peluang PH untuk meyakinkan kemantapan pakatan mereka jika mereka dapat bersetuju menggunakan 1 lambang. Cuma yang lebih penting lagi adalah kesatuan di dalam dasar-dasar bersama,” katanya.
Dr M: PH guna 1 lambang tak kira JPPM lulus atau tidak
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini