Get $25 free
loading...

Ahmad Faisal: Juara Silat Olahraga Dunia

Share This:

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

DIA pernah dikatakan sewel gara-gara sering dilihat berlari pada waktu tengah hari buta dari Bandar Alor Star ke pekan Kuala Kedah.

Lebih membingungkan orang ramai ialah lelaki tinggi lampai ini juga selalu memakai pakaian setebal lima lapis ketika menaiki bas dari Kuala Kedah dan selepas turun di Alor Star akan terus berlari pulang ke Kuala Kedah sejauh kira-kira 16 kilometer.

“Walaupun orang pandang saya semacam, saya buat tak kisah saja. Yang penting saya berlari bukan kerana saya gila tetapi ada sebab lain,’’ kata Koperal Ahmad Faisal Omar, 35, yang juga pesilat negara semasa memulakan bicaranya kepada penulis baru-baru ini.

Menurut anggota Rejimen ke-22 Komando yang kini bertugas di Cawangan Tempur Tanpa Senjata, Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Sungai Udang, Melaka ini, dirinya sendiri hakikatnya tidak suka berbuat demikian.

Namun disebabkan terdesak, dia sanggup melakukannnya asalkan berat badannya dapat diturunkan bagi membolehkannya bertanding dalam kelas G Putera Kejuaraan Silat Olahraga Kebangsaan pada 1992.

“Alhamdullilah, selepas berlari beberapa hari, berat badan saya turun sebanyak 4 kilogram dan melayakkan saya bertanding,’’ katanya yang kadangkala tersenyum sendirian jika terkenang semula perbuatan “gilanya” itu semasa di awal pembabitannya dalam sukan silat olahraga.

Malah Ahmad Faisal pasti akan tertawa kecil apabila teringat semula wajah pemandu bas yang sering dinaiki yang terkejut besar apabila bertembung dengannya di pekan Kuala Kedah pada suatu hari.

“Masakan dia tak terkejut, sebelum itu saya naik bas yang dipandunya ke Alor Star. Apabila dia berpatah balik ke Kuala Kedah saya tiba ke pekan itu hampir serentak dengannya.

“Tentulah dia hairan. Saya nampak dia geleng kepala beberapa kali,” terangnya.

Kata bekas pelajar Sekolah Menegah Tengku Laksamana, Teluk Cengai ini, kini dia tidak lagi berlari dalam keadaan sedemikian rupa tetapi kenangan melakukan aktviti yang dirasakan pelik oleh penduduk kampung tetap segar diingatannya.

“Ia memberi kejayaan besar kepada diri saya. Selain berat badan turun, stamina saya juga meningkat dengan banyak dan yang paling manis saya menjadi juara kebangsaan buat kali pertama seterusnya dinobatkan sebagai pesilat terbaik pada tahun tersebut,’’ ujarnya.

Selepas kejayaan tersebut dia tidak lagi menoleh kebelakang untuk memburu lebih banyak kemenangan dalam sukan yang begitu diminatinya itu.

Lebih membanggakan, dia berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai juara kebangsaan selama lima kali berturut-turut dalam tiga kategori berlaianan iaitu kelas G, H dan I.

Malah pada tahun 2002, dia sekali lagi terpilih sebagai pesilat terbaik kebangsaan walaupun pada masa yang sama merupakan pesilat paling tua yang turun bertanding.

Sejak bergelar juara kebangsaan juga, Ahmad Faisal sering terpilih mewakili negara dalam pelbagai kejuaraan silat olahraga di peringkat antarabangsa.

Bermula dari Kejuaraan Silat Dunia pada tahun 1992 sehingga kini telah banyak kejuaraan yang telah digengam oleh bapa kepada dua orang cahaya mata berusia 18 bulan hingga lima tahun ini.

Antaranya memenangi dua pingat emas dan tiga perak dari lima temasya Suka SEA; satu emas, dua perak dan satu gangsa dari Kejuaran Silat Dunia serta beberapa pingat emas dari kejohanan jemputan antarabangsa.

“Paling manis kejayaan memenangi pingat emas Kejuaraan Dunia di Pulau Pinang pada tahun 2002.

“Itulah impian saya selama ini selepas gagal dalam percubaan sebelum itu,’’ katanya yang menyertai tentera pada tahun 1998.

“Walaupun doktor melarang saya bersilat lagi, tetapi saya tidak peduli”.

Retak Tulang Kaki

Menurut Ahmad Faisal, sebelum itu dia pernah bertekad untuk tidak akan berundur daripada sukan silat olahraga selagi tidak bergelar juara dunia.

“Semangat saya untuk itu memang kuat walaupun kedua-dua tulang kaki saya pernah retak.

“Komando mengajar saya agar tidak mudah mengalah walau apa pun terjadi,” ujarnya yang telah melalui banyak suka duka sejak terlibat secara aktif dalam sukan bela diri.

Ahmah Faisal memberitahu, tidak mungkin dia dapat melupakan pertarungan yang menyebabkan kedua-dua tulang kakinya retak pada Kejuaran Silat Dunia di Hadyai, Thailand beberapa tahun lalu sehingga mengakibatkan dirinya hampir bersara daripada sukan tersebut.

“Walaupun doktor melarang saya bersilat lagi, tetapi saya tidak peduli.

“Selagi saya yakin boleh, saya akan teruskan perjuangan demi mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM ) dan negara,’’ katanya.

Ujar beliau, kecederaan pada tulang kakinya mula dikesan selepas bertarung dengan pesilat dari Austria dan Perancis pada pusingan awal dan sukar akhir kejohanan itu.

“Di peringkat separuh akhir kaki saya terasa amat sakit dan sukar digerakkan menyebabkan saya terpaksa akur kepada kehebatan pesilat Belanda.

“Apabila dibuat pemeriksaan, doktor mengesahkan tulang kaki saya telah retak dan perlu disimen. Tapi saya tidak mahu dan sebaliknya berubat secara tradisional,” tegasnya.

Disebalik penglibatan aktifnya dalam silat olahraga, ramai yang tidak mengetahui bahawa Ahmad Faisal juga pernah bergelar Juara Taekwando Kebangsaan pada tahun 1997 dan 1999 di samping sering memenangi pingat emas ketika mewakili ATM dan Kor Gerak Khas dalam sukan tersebut.

Selagi saya yakin boleh, saya akan teruskan perjuangan demi mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara.

“Walaupun begitu, saya menolak untuk mewakili negara kerana cinta saya lebih kepada silat olahraga,” katanya yang mengakui minatnya kepada seni bela diri berputik selepas mengikuti Kursus Tempur Tanpa Senjata di Kem Sungai Udang 13 tahun lalu.

Sejak berkecimpung dalam silat olahraga, Ahmad Faisal pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Kor Gerak Khas sebanyak dua kali di samping Olahragawan Melaka, Olahragawan ATM dan Olahragawan Tentera Darat masing-masing sekali.

“Sekarang saya sudah puas dengan kejayaan yang ada. Kini saya bercita-cita menjadi jurulatih pula kalau ada peluang,” ujarnya.

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

-PRU14.TV

Comments

comments



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...