Get $25 free
loading...

Tingkah laku Dr M mendukacitakan dan keterlaluan, kata anak Najib

Nazifuddin berkata Dr Mahathir tidak ada sebab untuk marah melainkan terselit agenda tersirat.

Nazifuddin-Najib-13

PETALING JAYA: Anak perdana menteri, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, 33, berkata tingkah laku, perbuatan dan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap bapanya amat mendukacitakan, keterlaluan dan menyisihkan prinsip etika seorang bekas perdana menteri.

Anak Datuk Seri Najib Razak itu berkata, Dr Mahathir tiada sebab untuk berasa marah terhadap pentadbiran bapanya kerana perbezaan pendapat dalam politik adalah lumrah, terutama selepas mewarisi pemerintahan Dr Mahathir.

“Dalam konteks ini, sudah tentu Datuk Seri Najib melalui zaman yang berbeza berbanding zaman Tun Mahathir,” kata Nazifuddin di Facebook petang tadi.

Beliau menegaskan kehendak dan kemahuan rakyat berbeza mengikut peredaran waktu yang cukup pantas.

“Justeru itu, tidak ada sebab untuk Tun Mahathir terlalu marah terhadap Datuk Seri Najib melainkan jika terselit agenda tersirat sebagaimana yang disebut-sebut oleh sebahagian besar rakyat yang amat mengenali Tun Mahathir.”

Beliau berkata demikian mengulas temuramah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menyentuh mengenai datuknya, Tun Abdul Razak Hussein. Temuramah itu disiarkan secara langsung di Facebook Dr Mahathir 17 Januari lepas.

Dalam temuramah itu, Dr Siti Hasmah berkata terlalu banyak sumbangan Razak kepada negara terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, dan menambah perasaan rakyat terbukti apabila pelbagai laporan masyarakat memenuhi Parlimen untuk penghormatan terakhir kepada perdana menteri ke-2 itu.

“Jika Tun Mahathir benar-benar menghargai dan mengenang jasa Tun Razak, lindungilah anakandanya Datuk Seri Najib sepertimana Datuk Seri Najib melindungi Tun Mahathir dalam mempertahankan jawatan Presiden Umno pada 1987,” kata Nazifuddin merujuk kepada pergolakan dalaman Umno antara Dr Mahathir dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Pergolakan itu membawa kepada pengharaman Umno pada 1988.

“Bentengilah Datuk Seri Najib sebagaimana beliau membentengi Tun Mahathir dalam krisis politik negara pada 1998 sehingga mencetuskan gerakkan reformasi menjelang PRU10 pada 1999,” tambahnya.

“Andai kata Tun Mahathir benar-benar menyayangi Tun Razak, biarlah hidup umpama Tun Razak bersama Umno hingga ke nafas yang terakhir.

Kritikan demi kritikan Dr Mahathir terhadap Najib, terutamanya berkenaan isu 1MDB, membawa kepada peletakan keahlian beberapa pemimpin veteran Umno. Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri dari 1981 hingga 2003, mengumumkan keluar parti pada 29 Februari 2016 dan menubuhkan PPBM pada 9 September 2016 untuk melawan Najib.

Nazifuddin mengingatkan Dr Mahathir bahawa datuknya membawa beliau kembali ke parti itu pada 7 Mac 1972 untuk mengukuhkan, mempertahankan dan menjulang Umno, “bukan untuk menghancurkan Umno”.

Beliau amat kesal kerana Dr Mahathir sanggup membelakangkan prinsip yang dipegangnya semasa bersama Umno.

“Tun Mahathir dilihat sekarang sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP semata-mata untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Realitinya sekarang, Tun Mahathir sanggup menggadai maruah untuk menjadi calon perdana menteri pakatan pembangkang yang didominasi oleh DAP.

“Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan; iaitu laluan yang Tun Razak telah rintis untukmu menjadi insan ke-4 yang menjadi perdana menteri Malaysia.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...