Get $25 free
loading...

Rosnah harapkan rekod khidmatnya untuk pertahan Papar

Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap pengundi terus menyokong BN pada PRU14 supaya beliau dapat membawa lebih banyak pembangunan untuk kawasan Parlimen Papar.

Rosnah-Abdul-Rashid-Shirlin-1KOTA KINABALU: Kerusi Parlimen Papar dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak diwujudkan pada 1984, tetapi ia kini lebih dikenali kerana Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin merupakan orang pertama memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada 2004.

Bekas ketua Puteri Umno berusia 45 tahun itu ialah tokoh popular di kalangan pengundi yang mengenalinya sebagai orang sendiri sebelum muncul melalui jawatan dalam parti.

Beliau yang merupakan seorang peguam, kini ialah timbalan menteri kerja raya. Ini bermakna kebanyakan masanya beliau jauh dari kawasan Parlimen Papar.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna beliau mengabaikan tanggungjawabnya untuk berkhidmat kepada rakyat yang memilihnya. Rosnah akan pulang ke Papar, biasanya pada hujung minggu untuk menghadiri program di kawasannya.

Ia bukan tugas mudah kerana Papar yang terletak kira-kira 40km dari sini, ialah kawasan besar dan pelbagai dari segi geografi serta populasi.

Walaupun disayangi pengundi, ini tidak bermakna 61% pengundi Bumiputera beragama Islam, 30% Bumiputera bukan Islam dan 9% Cina tidak akan bersuara jika beliau gagal menepati jangkaan mereka.

Satu daripada aduan lazim disuarakan penduduk tempatan ialah dakwaan Rosnah gagal membawa projek baharu memanfaatkan rakyat atau pembangunan ke kawasan itu.

Dakwaan itu disangkal Rosnah yang berkata, beberapa projek penting sudah dilaksanakan di Papar sejak 5 tahun lalu, dengan banyak lagi dalam perancangan.

“Saya berasa sedih mendengar aduan itu, tetapi ia hanya bermakna kita tidak dapat menjangkau rakyat dan beritahu mereka apa yang kita sudah lakukan. Mungkin itu sesuatu yang perlu kita perbaiki.”

Beliau berkata, pusat khidmatnya melakukan lebih daripada memberi sumbangan peribadi di kenduri perkahwinan dan pengebumian atau menyampaikan rungutan rakyat kepada jabatan dan kementerian berkaitan.

“Hospital Papar, sebagai contoh sedang melalui fasa ke-2 projek menaik taraf bernilai RM100 juta. Fasa pertama sudah siap, di mana pusat hemodialisis diperluaskan supaya pesakit tidak perlu pergi ke Kota Kinabalu atau Beaufort untuk rawatan.

“Kami juga akan membina sebuah bangunan 4 tingkat di tanah hospital itu untuk menampung lebih ramai pesakit.”

Projek perumahan rakyat

Rosnah berkata, kerajaan turut meluluskan pembinaan 2 kompleks sukan baharu di kawasan Parlimen Papar – sebuah di bandar Papar dan satu lagi di Beringgis, kira-kira 12km dari Papar.

Katanya, masalah perumahan rakyat pula diatasi dengan pembinaan 2 projek di Kinarut, tidak jauh dari Beringgis, serta 2 lagi projek di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga di Kinarut.

Beliau berkata, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dengan pakej 30km yang menghubungkan Papar dan Kinarut, dijangka siap tahun depan.

“Kami turut membelanjakan RM1 juta untuk membina dan membaiki 20 jambatan, 5 daripada di Kaiduan kerana banyak jambatan rosak selepas banjir besar pada Ogos lalu.

“Pejabat saya turut memberi dana untuk membaiki masjid, gereja dan kuil kerana kami tahu ini memanfaatkan rakyat secara langsung.”

Selain pencapaian itu, Rosnah mengakui beliau boleh melakukan lebih banyak untuk rakyat, contohnya menyelesaikan masalah saliran yang menyebabkan banjir besar tahun lalu.

Bagaimanapun, menjelang pilihan raya umum ke-14, Rosnah berharap rekodnya setakat ini mampu meyakinkan rakyat untuk terus memberi beliau peluang berkhidmat kepada mereka seperti yang dilakukannya sepanjang selama ini.

“Adakah saya melakukan secukupnya untuk meyakinkan rakyat mengundi BN sekali lagi? Saya rasa ya, tetapi saya belum mahu berhenti. Harapan saya adalah meneruskan usaha membangunkan Papar,” kata Rosnah.

Dalam pilihan raya umum lalu pada 2013, Rosnah yang mendapat 21,196 undi menewaskan calon PKR, Yahya Lampong yang juga bekas ketua Umno Tanjung Aru, dengan hanya 10,661 undi.

Kali ini, beliau menjangkakan saingan daripada parti pembangkang tempatan, Parti Warisan Sabah yang pemimpinnya berkempen secara aktif sejak tahun lalu.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...