Presiden Umno menantikan satu bentuk petunjuk untuk memikirkan masa yang paling sesuai untuk mereka.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masih menunggu “ilham” tarikh yang paling sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Saya menantikan satu bentuk petunjuk, seperti apa yang orang Melayu katakan sebagai ilham untuk memikirkan masa yang paling sesuai buat kita.
”…menurut Perlembagaan sebelum Jun. Sekiranya kita tidak mengadakannya pada Jun, Parlimen akan dibubarkan secara automatik.
“Tengoklah kita tunggu sehingga Jun atau kita adakan lebih awal…kita tengok perkembangannya nanti,” kata Najib yang juga presiden Umno kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Mesyuarat turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas timbalan presiden, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Pergerakan Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Najib berkata semua peringkat parti itu kini berada dalam kesiapsiagaan terbaik untuk menghadapi PRU14.
“Kerja-kerja parti di semua peringkat termasuk oleh (pergerakan) Wanita, Pemuda dan Puteri berjalan lancar dan saya berpuas hati.
“Berdasarkan kepada laporan Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan Datuk Seri Ahmad Zahid serta laporan-laporan daripada Wanita, Pemuda dan Puteri, kesiapsiagaan Umno berada di tahap yang lebih tinggi hari ini.
“Mudah-mudahan, kesungguhan ini akan diteruskan sehingga waktu Parlimen dibubarkan nanti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata Umno akan menghantar senarai calon PRU14 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk saringan.
“Kita memang komited untuk tentukan bahawa sistem pilihan raya kita sistem yang bersih dan adil. Semua jabatan, kementerian dan agensi telah buat Ikrar Bebas Rasuah (IBR)…memang kita komited,” katanya ketika ditanya sama ada Umno akan melakukan IBR khas sempena PRU14.
Perdana Menteri mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang dilaporkan berkata SPRM sedia memberikan kerjasama kepada mana-mana parti politik yang memohon untuk melaksanakan IBR.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, Najib berkata: “SPR akan membuat keputusan akhir, kemudian ia dibawa di Parlimen, Parlimen akan membuat keputusan.
“Selepas itu, kami melaksanakannya. Ia adalah perkara yang sama sejak dari dahulu lagi, tiada bezanya dengan apa yang kami lakukan sekarang,” kata beliau.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini