Menteri Richard Riot berkata kementerian sedang meneruskan perbincangan dengan majikan dan pekerja untuk memperhalusi cadangan pindaan Akta Kerja 1955.
KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi di tempat kerja susulan isu larangan bertudung dalam sektor perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata kementerian sedang meneruskan perbincangan “tripartite” melibatkan pihak majikan, pekerja dan kerajaan untuk memperhalusi cadangan pindaan akta itu.
“Kementerian Sumber Manusia memandang serius isu diskriminasi yang didakwa berlaku dalam kalangan beberapa majikan sektor perhotelan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat dijadual berlangsung dari 5 Mac hingga 5 April ini.
Riot berkata pemeriksaan yang dilakukan kementerian ke atas 88 hotel di Semenanjung Malaysia sejak Disember 2017 hingga semalam mendapati 13 daripadanya menetapkan polisi dan mempunyai “standard grooming” yang melarang pekerja wanita bertudung, khususnya bagi “frontliners” dan mereka yang bertugas di bahagian “food and beverages”.
“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia telah menasihatkan 13 hotel berkenaan mengambil tindakan pembetulan untuk tidak melaksanakan polisi itu,” katanya.
Riot seterusnya berkata Persatuan Hotel Malaysia (MAH) memberi komitmen untuk menggesa anggotanya supaya tidak menetapkan sebarang polisi atau dasar melarang pemakaian tudung dalam kalangan pekerja wanita di tempat kerja.
“MAH juga menggalakkan semua anggotanya memasukkan pemakaian tudung sebagai pakaian seragam di dalam kod etika berpakaian yang diamalkan pihak pengurusan hotel di negara ini,” katanya.
Riot berkata ini berdasarkan perbincangan antara kementerian dan MAH pada 17 Januari lalu.
Comments
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini