Kalau dengar cakap pembangkang, semua benda dikatanya tidak betul. Negara hendak bankrup, negara hendak muflis, negara kena gadai, negara gagal sebab ada ramai orang jual nasi lemak dan bawa Grab serta macam macam lagi. Semuanya tidak betul, sedangkan institusi kewangan luar negara terus mengiktiraf ekonomi Malaysia.
Semalam, World Economic Forum (WEF) telah mengeluarkan laporan mengenai Inclusive Development Index yang mengambil kira 15 stuktur ekonomi dalam kajian tersebut. Malaysia disenaraikan sebagai negara dalam kategori “Emerging Economies” dan berada pada kedudukan ke-13 dalam kategori tersebut.
Kedudukan Malaysia adalah lebih baik berbanding Turki (16), Thailand (17), Russia (19), China (26), Indonesia (36) dan Brazil (37). Malaysia berada pada ranking ke 10 dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK mengikut laporan yang dikeluarkan oleh WEF itu.
Ini bukti bahawa ekonomi Malaysia semakin diyakini dunia. Kajian yang dibuat adalah berdasarkan asas dan stuktur ekonomi bukan seperti mana dakwaan tanpa asas yang dibuat oleh pakar pakar ekonomi pembangkang di pentas ceramah atau di media sosial.
Syarikat multinasional terus melabur di Malaysia dan jumlah pelaburan berkenaan semakin meningkat setiap tahun. Kalau negara gagal, syarikat multinasional tidak akan datang melabur. Ini bermakna syarikat ini yakin dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Syarikat multinasional ini menggunakan laporan dan ‘rating’ yang dibuat oleh Bank Dunia, World Economic Forum dan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk melabur di negara ini. Mereka tidak dengar dan percaya cakap cakap pembangkang di negara ini. Mereka buang ke laut sahaja hujah hujah pembangkang itu.
Syarikat multinasional luar negara dan insitusi kewangan antarabangsa melihat sendiri bagaimana Najib `membina’ negara ini selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia.
Pada 2008, ketika seluruh dunia mengalami krisis kewangan dan ia mengakibatkan ancaman bukan sahaja kepada ekonomi malah rakyat negara ini juga. Malah pada suku keempat 2008, sentimen di Malaysia menjadi begitu negatif.
Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009, Najib telah mengumumkan langkah-langkah pemulihan ekonomi negara ketika itu dan sejak itu pendapatan negara kasar (GNI) telah meningkat dan pada tahun lepas sahaja, ia telah berkembang pada kadar 9.1 peratus kepada RM1.3 trilion.
Bukan itu sahaja, pelaburan luar juga masuk ke negara ini. Ia menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. Pelaburan dari China, Arab Saudi, India, Kesatuan Eropah (EU), Amerika dan Afrika turut masuk. Melihat kepada senarai pelaburan asing itu pula, sebenarnya senarainya masih panjang dan semakin berkembang.
Dakwaan bahawa kedaulatan negara Malaysia tergadai kerana pelaburan China di negara ini adalah tidak betul. Jika begitu, United Kingdom sudah lama tergadai kepada Malaysia, kerana ada syarikat Malaysia melabur £1.6 bilion dalam Battersea Power Station di London. Dakyah pembangkang itu karut sama sekali.
Bagi pelabur luar, mereka memahami mengenai ekonomi, jadi mereka faham kenapa kerajaan mengambil langkah memperkenalkan BR1M dan GST kepada rakyat Malaysia berbanding pembangkang yang tidak faham ekonomi sepenuhnya tetapi dengan gahnya bercerita mengenai ekonomi.
Apa yang pasti, daya tahan dan daya saingnya ekonomi Malaysia telah diiktiraf oleh dunia, yang diyakini mampu membawa kebaikan kepada rakyat Malaysia. Syarikat multinasional dan antarabangsa menjadikan Malaysia destinasi pelaburan utama mereka.
“Syarikat minyak Arab Saudi iaitu Saudi Aramco dan bank terkemuka dunia, HSBC merupakan antara syarikat utama yang berhasrat untuk melabur berbilion di negara ini sepanjang tahun lalu. Banyak lagi syarikat multinasional mengikut jejak sama untuk melabur dan mengukuhkan kehadiran mereka di Malaysia,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Januari 2018.
Pengkuhan ringgit juga disebabkan oleh sentimen positif pelabur terhadap ekonomi negara. “Peningkatan ini mungkin didorong oleh pemulihan harga minyak dunia, tetapi ia juga memberi petanda bahawa terdapatnya sentimen positif dalam kalangan pelabur-pelabur asing serta pengiktirafan mereka terhadap ekonomi dan kewangan Malaysia,” kata Datuk Seri Najib ketika Perasmian Invest Malaysia semalam.
Syarikat luar negara percaya dan ikut apa yang dilapor oleh insitusi dan badan kewangan antarabangsa. Mereka tidak kutip ceramah pembangkang untuk dijadikan asas untuk melabur. Begitu juga dengan rakyat Malaysia, usah mudah percaya apa yang pembangkang cakap pasal ekonomi Malaysia, kena dengar cakap insitusi kewangan antarabangsa.
Kesimpulannya, jika syarikat antarabangsa pun yakin dan percaya untuk melabur di negara ini, maka rakyat pun perlu melabur sama dalam PRU14 menerusi kertas undi terhadap Barisan Nasional bagi memastikan kelangsungan kerajaan yang sedia ada. Kestabilan ekonomi dan kemakmuran rakyat adalah jauh lebih penting dari agenda peribadi pembangkang.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini