Syed Hamid Albar berkata, ia penting bagi memastikan pelarian Rohingya mendapat layanan sama rata dan mendapat perlindungan sebagai rakyat Myanmar.
KUALA LUMPUR: Persetujuan tentang penghantaran pulang pelarian Rohingya ke tanah air mereka yang dicapai antara Myanmar dan Bangladesh perlu menjelaskan isu berkaitan kewarganegaraan dan jaminan keselamatan, sebelum ia boleh dilaksanakan.
Bekas duta khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, perkara itu penting bagi memastikan pelarian Rohingya mendapat layanan sama rata sebagai rakyat Myanmar dan diberi kepastian tentang wujudnya perlindungan bagi mereka.
“Butiran terperinci dan penjelasan tentang persetujuan itu merupakan suatu prasyarat kerana ketika ini terdapat terlalu banyak kelemahan dan ketidakpastian. Sekurang-kurangnya, libatkanlah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan pengaman lain di sana untuk menyelia dan melindungi mereka.
“Jika keadaan seperti sekarang terus wujud, saya ingin menasihati para pelarian supaya jangan pulang ke Myanmar dan mereka perlu tolak cadangan itu,” katanya selepas merasmikan persidangan khas tentang Rohingya anjuran Majlis Rohingya Malaysia (MRM) hari ini.
Baru-baru ini, terdapat laporan Bangladesh dan Myanmar mencapai persetujuan penghantaran pulang pelarian Rohingya dalam 2 tahun yang prosesnya akan bermula pada 23 Januari ini.
Ketika ini, terdapat kira-kira 700,000 pelarian Rohingya di Bangladesh.
Syed Hamid yang juga bekas menteri luar berkata, penempatan pelarian di kem sementara yang dinyatakan dalam perjanjian itu, juga boleh dipertikai.
“Mengapakah mereka hanya diberi penempatan yang setara dengan kem tahanan, di mana mereka tidak boleh bergerak secara bebas di tanah air sendiri dan kem itu juga perlulah dilengkapi sistem sanitasi dan pembetungan sewajarnya. Tiada maklumat terperinci diberi tentang keadaan kem berkenaan.”
Sementara itu, anggota Majlis Penasihat Kebangsaan MRM, Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata, sekiranya kerajaan Myanmar benar-benar ikhlas menangani isu Rohingya, ia perlu melaksanakan syor bekas setiausaha agung PBB, Kofi Annan.
“Bagi menunjukkan keikhlasan dan niat baiknya, Myanmar perlu menyatakan secara terbuka ia akan melaksanakan cadangan tersebut, buatlah begitu sebagai langkah untuk membina keyakinan terlebih dahulu, kemudian barulah kepercayaan akan timbul.”
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini