Baru-baru ini, artis kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee tampil memberi penjelasan mengenai klip video terbarunya yang dikatakan menghina sensitiviti kaum dan agama di negara ini.
Menurut Namewee, dia sama sekali tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana agama atau kaum di negara ini, malah klip video tersebut dibuat berdasarkan turutan kalendar Lunar masyarakat Cina.
“Dalam turutan kalendar Lunar masyarakat Cina, tahun ini adalah tahun anjing. Oleh itu saya telah menyanyikan sebuah lagu tentang bunyi salakan anjing dalam setiap negara yang berbeza.
“Mungkin ada yang merasa terdapat kelakuan yang tidak senonoh dalam klip video tersebut, namun ia hanyalah untuk hiburan,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik melalui Youtube pada Jumaat.
Menurut sumber, sebelum ini, Namewee memuat naik video berdurasi 3:15 saat di laman Youtube menampilkan dirinya berlatar belakangkan beberapa penari berbaju hitam memakai topeng anjing.
Difahamkan, video tersebut berkisarkan tentang cara-cara anjing menyalak di setiap negara berbeza seperti Amerika Syarikat, India, Korea, Jepun dan Malaysia.
Namewee berkata, penggambaran klip video tersebut juga dibuat di lokasi aktiviti yang terletak di tepi jalan utama Putrajaya dan bukannya di kawasan masjid seperti dakwaan sesetengah pihak sebelum ini.
“Babak yang muncul dalam klip video itu adalah di sekitar jalan besar Putrajaya yang diiringi dengan tanaman pokok di bahagian tepi, bangunan di belakang yang terletak lebih kurang dalam lingkungan satu kilometer dari pejabat Perdana Menteri.
“Kami tidak menyentuh mana-mana bahagian kawasan ibadah dalam muzik video tersebut dan saya minta semua pihak yang berkaitan agar tidak salah faham disebabkan oleh laporan berita yang tidak tepat,” katanya.
Namewee juga memaklumkan dia tidak pernah mewakili mana-mana parti dan komen-komennya sebelum ini yang berunsur politik merupakan pendapat peribadi dan tidak dikawal oleh mana-mana pihak.
“Tolong jangan libatkan saya dengan politik. Penggiat seni seperti kami susah nak cari makan dan hidup di Malaysia.
“Saya harap kerajaan akan bantu kami dan tolong henti hadkan kreativiti serta idea kami,” katanya.
Bagaimanapun,sebelum ini Namewee dikatakan pernah juga menimbulkan kemarahan di kalangan umat Islam Malaysia apabila menghasilkan sebuah klip muzik video ‘Oh My God’ yang disifatkan masyarakat umum sebagai menghina pelbagai agama, termasuk Islam yang menyaksikan pelaku terkinja-kinja dalam masjid.
-PRU14.TV
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini