Get $25 free
loading...

Hasil Negara Benteng Keamanan

Share This:

“PERKARA paling sukar untuk difahami di dunia ini adalah cukai pendapatan.” Ini adalah ungkapan, Albert Einstein (1963), manusia yang diiktiraf oleh dunia sebagai paling bijak pada abad ke-20.

Kata-kata beliau ini dianggap sebagai analogi beliau mengenai cukai pendapatan yang difikirkan rumit berbanding teori relativiti, dianggap lebih mudah untuk difahami dan dihadam. Mungkin ramai akan terkesima mendengar kata-kata beliau mengenai cukai pendapatan kerana ia keluar dari mulut manusia yang digelar paling genius sehingga hari ini.

Namun, realiti yang perlu kita nilai semula pada hari ini ialah adakah cukai pendapatan serumit difikirkan oleh Einstein? Adakah ia boleh dijadikan asas kukuh supaya ramai tidak perlu membayar cukai, walhal ia ada manfaat besar dan tidak terhitung nilainya kepada semua. Mungkin pada masa itu cukai pendapatan agak rumit dan kurang impak kepada pembangunan negara, tetapi pada hari ini, cukai pendapatan adalah semudah A, B, C sekiranya pembayar cukai, faham konsep percukaian dan impaknya luas.

Cukai adalah hasil pendapatan utama Malaysia dan juga negara lain seantero dunia, termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat, Singapura, Jerman serta negara Scandanavia. Di Malaysia, cukai pendapatan menyumbang lebih 50 peratus kepada Bajet Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun, manakala cukai tidak langsung pula menyumbang sekitar 25 hingga 30 peratus, menjadikan cukai sebagai sumber utama pendapatan negara.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), agensi yang mengutip hasil cukai pendapatan, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), bertanggungjawab menguruskan cukai tidak langsung iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kedua-dua agensi ini sentiasa menjalankan tugas mereka berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Hasil pendapatan utama negara

Begitu juga dengan pentadbiran kerajaan negeri di Malaysia, hasil cukai adalah satu daripada hasil utama yang menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri. Hasil cukai dalam konteks kerajaan negeri, datang daripada sumber seperti cukai taksiran dan cukai tanah yang dikutip oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Tanah. Hasil cukai ini akan digunakan untuk kesejahteraan rakyat, termasuk membiayai kos penyenggaraan bandar atau kawasan seperti kos mengangkut sampah, membersihkan longkang, memperindahkan landskap, membayar bil lampu jalan dan sebagainya.

Secara umum, kerajaan negeri memungut tiga kategori hasil, iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil. Contohnya, pada 2016, kerajaan Selangor mencatatkan kutipan hasil cukai RM594.68 juta, manakala Melaka, RM125.52 juta, Johor (RM419.77 juta) dan Pahang (RM222.23 juta).

Seperti cukai pendapatan, hasil cukai kerajaan negeri juga berdepan masalah tunggakan dan PBT turut melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada mengutip tunggakan cukai berkenaan. Setiap negeri bergantung kepada hasil cukai dan tidak mampu untuk menghapuskan sistem sedia ada.

Bagi konteks cukai pendapatan, ia hanya dibayar dan dikenakan kepada mereka yang layak sahaja, namun konteksnya tetap sama, membangunkan negara berdasarkan prinsip perkongsian pendapatan kepada semua. Kita tidak mampu untuk membina jambatan menyeberangi Pulau Pinang dan sungai Pahang secara berseorangan, namun jambatan mampu dibina sekiranya ramai pihak menyumbang pendapatan mereka walaupun jumlahnya hanya RM100.

Namun, urusan untuk meminta rakyat membayar cukai bukan perkara mudah. Maka, akta yang sah di sisi undang-undang seperti Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) perlu ada. Ia akta utama yang menggariskan peruntukan dan panduan pengurusan cukai pendapatan di Malaysia, malah ibarat kitab utama yang perlu dipegang agar pengurusan cukai tidak terpesong daripada landasan sepatutnya.

Akta ini memberikan kuasa kepada LHDN sebagai badan pemungut tunggal cukai langsung negara di Malaysia bagi pihak kerajaan. LHDN berperanan utama sebagai penggubal dasar dan strategi pemungutan serta pematuhan cukai di bawah Kementerian Kewangan. LHDN hanya menjalankan amanah diberikan oleh kerajaan dan kerajaan tidak mempunyai niat lain dalam hal ini. Apa yang kerajaan mahukan adalah kestabilan ekonomi negara mapan supaya sosioekonomi negara dapat dilestarikan menerusi hasil cukai dikutip.

Hari ini, saiz ekonomi Malaysia sudah mencecah RM1 trilion dan limpahan ekonomi ini dinikmati oleh rakyat di setiap pelusuk negeri. Dari Perlis hingga Sabah, setiap daerah sudah menerima tempias pembangunan yang mapan hasil daripada cukai dibayar oleh pembayar cukai.

Manfaat dinikmati rakyat

Contohnya, kemudahan Wifi percuma di 5,800 lokasi hotspot seluruh negeri disediakan kerajaan dan manfaat itu dinikmati sewajarnya oleh rakyat sehingga hari ini. Ia satu daripada contoh manfaat cukai dijana hasil daripada cukai dibayar oleh rakyat.

Malah, sejumlah RM109 bilion subsidi keperluan asas utama merangkumi subsidi produk petroleum dan minyak masak diberikan oleh kerajaan kepada rakyat sejak 2010. Pada pembentangan Bajet 2018 pula, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan program BR1M berjumlah RM6.8 bilion membabitkan 7 juta penerima yang layak.

Betapa besar jasa pembayar cukai yang selama ini patuh menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

Mungkin ramai kurang senang dengan tindakan LHDN meningkatkan aktiviti pematuhan mereka menerusi program audit dan siasatan cukai, baru-baru ini. Namun, semua harus faham, audit dan siasatan cukai dijalankan kepada mereka yang tidak patuh sahaja. Malah, ia akan memberikan keadilan kepada pembayar cukai yang patuh dalam melaporkan pendapatan mereka dan membayar cukai pada setiap tahun taksiran.

Hasil negara adalah benteng keamanan negara yang perlu dipertahankan. Tanpa hasil negara belum pasti keamanan boleh diwujudkan. Mungkin pada hari ini kita mampu tersenyum menyaksikan anak kita bermain dengan penuh gembira, namun esok lusa belum tentu kita dapat mewariskan negara ini kepada anak cucu kita seandainya tanggungjawab kita melalui sumbangan cukai gagal kita laksanakan.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif,

Lembaga Hasil Dalam Negeri

Comments

comments



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...