Pengguguran pendakwaan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng terus menarik perhatian awam.
Hari ini, Pengerusi NGO Hisbah Centre For Reform (HISBAH) Datuk Ezam Mohd Nor turut membangkitkan perkara itu.
Ezam yang juga bekas senator berkata, pihaknya memandang serius keputusan menarik balik dakwaan terhadap Lim semalam.
“Ia sesuatu yang amat janggal dan menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi penarikan dibuat setelah OKT (orang kena tuduh) menjadi ahli kabinet kerajaan.
“Persoalan paling pokok dari sudut keadilan ialah apakah wujud pertindihan kepentingan dalam keputusan ini,” katanya.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam membebaskan Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membebas dan melepaskan Lim daripada tuduhan itu atas alasan pihak pendakwa menarik balik tuduhan padanya dan ahli perniagaan Phang Li Koon.
SPRM bagaimanapun berkata penarikan balik kes itu bukan diminta mereka, sebaliknya Pejabat Peguam Negara.
Sumber memberitahu Malaysiakini, peguam Lim tersilap apabila berkata pegawai SPRM yang memberitahu mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan itu.
Dalam kenyataan hari ini, HISBAH menuntut penjelasan Jabatan Peguam Negara secara sesuai dengan pendekatan kerajaan baru Pakatan Harapan yang mendukung prinsip ketelusan.
Lim dituduh ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, bawah harga pasaran, ketika pentadbiran kerajaan lama BN.- Malaysiakini