Bekas menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz percaya nasib Umno kini di tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan bekerjasama dengan parti yang pernah diterajuinya selama lebih dari dua dekad.
Bercakap kepada Malaysiakini, beliau berkata Umno, yang kini diterajui oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak mempunyai hala tuju selepas kekalahan pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, dakwanya, dengan bekerjasama dengan bakal perdana menteri itu mampu memberi Umno hala tuju tersebut.
"Tidak ada hala tuju (buat Umno), sebab itulah saya katakan... kita perlu bekerjasama dengan Anwar kerana ini akan memberi kita arah ke mana harus kita tuju.
"Bukannya saya tidak mahu bekerja dengan Mahathir tetapi dia menolak kita. Satu-satunya harapan adalah Anwar, itu sahaja," katanya.
Anwar pernah menjadi timbalan presiden Umno sebelum pemecatannya pada tahun 1998.
Sebelum ini, Nazri menyatakan hasrat berkempen untuk Anwar pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dengan alasan ia adalah tindakan terbaik untuk memastikan Umno kembali ke dalam kerajaan.
Mengulas keputusan dua pemimpin kanan Umno yang meninggalkan parti itu kurang dalam tempoh 24 jam serta spekulasi ramai lagi akan menyusul, Nazri turut mempersoalkan alasan di sebalik kerjasama Umno dengan PAS.
"Mereka tidak boleh bentuk kerajaan dan PAS tolak tawaran kita mahu jadi kerajaan negeri di Perak jadi tidak ada gunanya (berkerjasama).
"Saya tidak faham mengapa kita mahu bekerjasama dengan mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Beliau merujuk pembentukan kerajaan negeri Perak selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), yang menyaksikan DUN negeri tergantung selepas Pakatan Harapan memperoleh 29 kerusi negeri manakala BN dan PAS masing-masing mempunyai 27 dan tiga kerusi.
Usaha awal BN untuk membentuk kerajaan negeri dengan PAS tidak berjaya, tetapi nasib menyebelahi Pakatan Harapan apabila dua wakil rakyat BN memutuskan untuk mengisytiharkan sokongan mereka terhadap calon menteri besar gabungan HARAPAN.
Di sebalik semua itu, Umno dan PAS kemudiannya bekerjasama, dengan Umno membantu PAS pada raya kecil Seri Setia dan pemimpin kanan Umno hadir di muktamar PAS minggu lalu. - MK