Get $25 free
loading...

Keluar UMNO, adakah usaha MENGGAGALKAN Anwar jadi PM?

*ANIFAH AMAN: DARI KIMANIS KE PUTRAJAYA? - ANUAR SHAARI*

Oleh Anuar Shaari

19 September 2018

1. Terkini Datuk Anifah Aman pula isytihar keluar UMNO. DS Hishamuddin Hussein pula dikhabarkan telah menemui Tun Mahathir di Putrajaya. Apakah benar ada “grand design” mahu melumpuhkan hasrat “PM in waiting” yang kini aksinya melebihi PM sebenar?

2. Drama ini semakin menarik untuk kita ikuti. Gerakan ini terlihat nyata setelah ahli PKR yang tidak cenderung kepada Azmin membuka laluan kepada DS Anwar meniti langkah ke Parlimen tanpa ada rundingan dengan pimpinan tertinggi PH.

3. Bermula dari kempen dalaman pemilihan PKR, ianya merebak sehingga pukulan demi pukulan terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim yang didakwa ahli PKR mahu menghalang DS Anwar menjadi PM. Dakwaan yang amat serius!!

4. Apakah tindakan Rafizi, Abdullah Sani serta lain-lain mencuit Tun Mahathir dan Tun Daim dalam pemilihan PKR merupakan manifestasi ketidakpercayaan DS Anwar terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim? Tiada sanggahan serius dari DS Anwar seakan mengiyakan perkara ini.

5. Tun Mahathir dan Tun Daim tidak akan berdiam diri. Mengenali mereka berdua, sesuatu akan dilakukan bila saatnya tiba dan tepat. Mereka ibarat diam-diam ubi berisi. Hasilnya pula seperti cencaru makan petang. Apabila DS Anwar mengharapkan MP UMNO mengukuhkan beliau menyingkirkan Tun Mahathir, Tun Mahathir kini bertindak memusnahkan ‘peluru’ DS Anwar satu demi satu.

6. Adakah Tok Pa akan menjadi ‘Pengerusi Perhubungan MP Bebas’ di Kelantan? Kononnya akan ada beberapa MP UMNO Kelantan akan mengikut jejak beliau. Kini Datuk Anifah Aman pula. Adakah beliau juga bakal ‘Pengerusi Perhubungan MP Bebas’ di Sabah sehingga suatu masa sebelum bertindak menyertai sekutu Tun Mahathir secara rasmi?

7. Tidak mustahil Datuk Anifah Aman kembali ke Putrajaya sebagai sekutu Tun Mahathir yang baru. Datuk Anifah Aman akan menjadi benteng menyekat pengaruh DS Anwar ke atas MP UMNO yang menjadi rebutan saat ini. Apakah Tan Sri Musa Aman berperanan dalam hal ini? Jangan diketepikan faktor ini kerana sebagai bekas Ketua Perhubungan UMNO Sabah, beliau punya pengaruh besar ke atas mereka.

Apapun, yang jelas lagi nyata memang ada pertelingkahan antara Tun Mahathir dan DS Anwar. Sudah terang lagi bersuluh walaupun masing-masing cuba menyembunyikan pertelingkahan ini. Kerana itu, saya ulangi, semua ini hanya permulaan satu episod panjang dalam politik negara.

Anuar Shaari

Pemerhati politik Malaysia

Baca berita selanjutnya di;
https://ift.tt/2QCciy2
Previous
Next Post »
loading...