KUALA LUMPUR 24 Sept. - “Saya akan turun padang dan membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memenangi kerusi yang akan ditandingi beliau di Port Dickson nanti.
“Bagi saya, wajib untuk membantu beliau ketika bertanding kerana sangat yakin dengan kepemimpinan Anwar yang berjiwa besar, mempunyai jati diri, dan semangat tinggi,” kata Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu ditemui pada sidang akhbar di Mahkamah Ampang dekat sini untuk sebutan semula kes bagi tiga pertuduhan yang didakwa terhadapnya.
Dalam pada itu, Jamal turut berkata, beliau tidak peduli dengan dakwaan dan tuduhan yang dilakukan kepada Presiden PKR itu.
“Anwar adalah seorang cukup kental, sabar dan tabah apabila berbelas-belas tahun berada di dalam penjara. Saya sendiri berada di Penjara Sungai Buloh selama 27 hari pun sudah berasa seksanya.
“Saya sudah berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan telah melontarkan pendapat ini malah menurutnya, beliau hanya berserah kepada keputusan kepimpinan UMNO itu sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE