Annuar berkata, mereka telah disoal siasat selama beberapa hari mengenai beberapa dana yang diterima dari pihak tertentu.

Saya boleh sahkan UMNO Kelantan termasuk Tok Pa disiasat oleh pihak polis beberapa hari berkaitan dana yang diterima," kata Annuar dalam sidang akhbar di Menara Dato' Onn, hari ini.

Mustapa keluar UMNO Selasa lalu dan kurang 24 jam seorang lagi bekas Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Anifah Aman keluar parti.

Annuar berkata, UMNO tidak ada hak untuk melarang ahlinya meninggalkan parti kerana setiap individa mempunyai alasan tersendiri.

"Masing-masing ada alasan sendiri untuk keluar. Ada yang mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan dan perlu selamatkan perniagaaan.

"Ada dalam siasatan SPRM. Ada yang tidak boleh tidur lepas disiasat. Lain orang lain masalah. Tak elok tuduh-tuduh. Politik negara kita matang dan kita hormati pendirian mereka," kata Annuar.

Dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 hujung bulan ini, Annuar turut mendakwa banyak tawar menawar berlaku kepada ahli UMNO untuk keluar daripada parti ketika ini.

"Banyak tawar menawar. Pintu depan pintu belakang. Kita tak boleh nak kawal nak tambat. Terpulang pada istiqamah masing-masing. Perjalanan masih jauh," kata Annuar. -UTUSAN ONLINE