Get $25 free
loading...

[Tun M ada bukti ke?] Benarkah PAS tolak Kemerdekaan?



BENARKAH PAS MENOLAK KEMERDEKAAN?

Saya terbaca tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk “Kenapa Saya Tentang PAS”.

Di dalam tulisan beliau itu, Tun Dr Mahathir menyebut mengenai PRU 1955 di mana dinyatakan oleh beliau bahawa, “Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan”, “Sementara UMNO dalam Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan”, “Perikatan mendapat 51 (daripada 52) kerusi”, “PAS memenangi hanya satu kerusi” dan “Jelas penolakan kemerdekaan merugi PAS”.

Saya tidak pasti dari mana kenyataan “PAS menolak kemerdekaan” atau “PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan” ini diambil tetapi rekod-rekod sejarah yang saya sendiri temui menunjukkan bahawa:

(1) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Dewan Madrasat ad-Da'irat al-Ma'arif al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai, pada 3 Januari 1953 telah memilih “merdeka” sebagai cogan kata PAS.

(2) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama di Dewan Madrasat ad-Da'irat al-Ma'arif al-Wataniah, Kepala Batas, Seberang Perai, pada 3 Januari 1953 telah meluluskan 7 rancangan politik PAS yang dua daripadanya adalah berbunyi “memperkenalkan kemerdekaan tulen kepada rakyat, menanamkan semangatnya dan menunjukkan cara-cara mencapainya” dan “menegakkan sebuah negara merdeka yang didirikan oleh rakyat, daripada rakyat, kerana rakyat”.

(3) PAS telah, di atas pertimbangan untuk mencapai kemerdekaan negara, menghantar Ahmad Fuad Hasan dan Muhammad Hanif bagi menghadiri Persidangan Kebangsaan anjuran 16 orang-orang terkemuka termasuk 7 Menteri Besar mulai 6 Mei 1953.

(4) PAS telah, di atas pertimbangan untuk mencapai kemerdekaan negara, menghantar Muhammad Hanif dan Ahmad Awang bagi menghadiri Perhimpunan Kebangsaan anjuran UMNO-MCA pada 23 Ogos 1953.

(5) Ekoran tindakan Persidangan Kebangsaan memutuskan ketidaksetujuannya ke atas tuntutan supaya Pilihan Raya Dewan Undangan Persekutuan diadakan pada tahun 1954 dan ekoran tindakan Perhimpunan Kebangsaan perhimpunan meluluskan satu ketetapan yang menuntut supaya Pilihan Raya Dewan Undangan Persekutuan diadakan pada tahun 1954 maka Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasat al-Masriyyah, Tanah Liat, Bukit Mertajam, pada 26 September 1953 telah meluluskan usul menghentikan penyertaan PAS di dalam Persidangan Kebangsaan dan meneruskan penyertaan PAS di dalam Perhimpunan Kebangsaan dengan syarat “PAS tidak terikat jika sekiranya ada perkara-perkara yang tidak sesuai dengan PAS”.

(6) Berakhirnya penyertaan PAS di dalam Perhimpunan Kebangsaan pada 11 Oktober 1953 bukanlah disebabkan oleh ketidaksetujuan PAS ke atas tuntutan kemerdekaan, tetapi adalah disebabkan bantahan dua wakilnya, iaitu Muhammad Hanif dan Mohd Asri Muda, ke atas cadangan jawatankuasa perhimpunan itu untuk memperluaskan hak-hak mengundi kepada penduduk-penduduk yang belum diakui taraf kerakyatan mereka mengikut dasar jus soli telah ditolak oleh mesyuarat perhimpunan itu.

(7) Manifesto PAS dalam PRU 1955, yang diadakan pada 27 Julai 1955, sendiri secara sangat jelas menyebut pada bahagian “Siasah”-nya bahawa, jika mencapai kemenangan, wakil-wakil rakyat PAS akan “berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin”.

(8) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-5 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Disember 1956 telah meluluskan usul “supaya tarikh kemerdekaan Malaya tidak mahu bergenjak dari 31 Ogos 1957”.

(9) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-5 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Disember 1956 telah meluluskan usul “supaya kemerdekaan yang akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957 itu hendaklah kemerdekaan yang penuh berdaulat dalam erti kata yang sebenar-benarnya”.

(10) Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-6 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 24 dan 25 Ogos 1957 telah meluluskan usul “menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah berjuang dahulu dan sekarang sehingga lahirnya kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957”.

Berdasarkan rekod-rekod sejarah ini maka tidak tepatlah kenyataan “PAS menolak kemerdekaan” atau “PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan”.

Dr. Kamarul Yusoff
20 September 2018
Previous
Next Post »
loading...