Get $25 free
loading...

Kontraktor Bumiputera dalam dilema, PH belum buat bayaran


KUALA LUMPUR, 8 Muharram 1440H, Selasa – Kontraktor Melayu dan Bumiputera kini, berdepan risiko hilang sumber pendapatan akibat pemberhentian dana dan tuntutan yang masih belum dijelaskan kerajaan bagi projek yang siap sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia), Tukiman Radion, mendakwa penangguhan dana yang dimaksudkan, termasuk membabitkan tuntutan sebanyak RM8 juta bagi dua projek yang sudah siap, tetapi belum dibayar kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Beliau mendakwa, jika isu itu tidak ditangani, dikhuatiri sehingga 400 kontraktor kelas F Bumiputera akan terjejas.
Memetik laporan BH online, Tukiman turut mendakwa, kontraktor Bumiputera juga berdepan risiko gulung tikar kerana kerajaan PH menarik balik bajet yang diluluskan kerajaan terdahulu, sekali gus mengakibatkan mereka hilang mata pencarian.
“Nasib kontraktor semakin malang selepas PRU14 kerana bajet yang diluluskan kerajaan terdahulu, ditarik balik menyebabkan kontraktor hilang mata pencarian, malah saya sendiri tidak bekerja ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tukiman mendakwa, kebanyakan projek mega turut dihentikan kerana disyaki terbabit dalam penganugerahan secara langsung tanpa melalui tender terbuka.
“Keadaan itu turut memberi kesan serta tempias kepada kontraktor kecil seperti kami, kerana dana dihentikan untuk saringan serta semakan terlebih dahulu,” katanya.
Selain PERKOBF Malaysia, nasib kontraktor Melayu Islam dan Bumiputera juga turut mendapat perhatian pihak Persatuan Kon­traktor Melayu Malaysia (PKMM).
Julai lalu, Bendahari Agung PKMM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin berkata, seramai 43,000 kontraktor Melayu Islam dan Bumiputera berdepan risiko ‘gulung tikar’ akibat polisi kerajaan PH yang tidak mewujudkan sebarang peluang pekerjaan menerusi kontrak baharu. - ismaweb
Previous
Next Post »
loading...